Lee Zii Jia ‘digantung’ dua tahun daripada sertai kejohanan antarabangsa – BAM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR 21 Jan – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan untuk tidak mendaftarkan Lee Zii Jia dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun, bermula 18 Jan 2022.

Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dalam satu sidang media, sebentar tadi.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas melakukan pertimbangan yang panjang dalam mesyuarat Majlis BAM pada Isnin lepas.

Jahaberdeen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perundangan BAM berkata persatuan itu telah pun mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pemain nombor tujuh dunia itu, sejak beliau menghantarkan surat peletakan jawatannya pada 11 Jan.

“Bagaimanapun Zii Jia tetap dengan keputusannya, dan pada satu daripada perbincangan tersebut berkata yang beliau tidak dapat tahan tekanan berada di dalam skuad kebangsaan dan gaya hidup ditetapkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), disamping memberikan beberapa terma, yang kami tolak.

“Terma tersebut adalah untuk beliau mempunyai pasukan kejurulatihannya dan kakitangan sokongannya sendiri, merancang kejohannnya sendiri dan untuk mempunyai penajanya sendiri. Kami dengan berat hati membuat keputusan sukar ini demi kepentingan negara dan kesan kewangan, selepas membimbing pemain ini selama 11 tahun,” katanya.

BAM juga membuat keputusan untuk mengenakan tindakan kepada bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei yang secara tiba-tiba meninggalkan BAM atas alasan kesihatan, dengan hukuman yang sama bermula 31 Okt 2021.

Untuk bermain dalam sebarang kejohanan diiktiraf Persekutuan Badminton Dunia (BWF) seseorang pemain itu perlu didaftarkan menerusi persatuan badminton kebangsaan.

Bagaimanapun Jahaberdeen berkata, pada masa ini BAM tidak bercadang untuk mengenakan denda kepada kedua-dua pemain tersebut.

Jahaberdeen berkata pemain-pemain itu boleh membuat rayuan pada bila-bila masa, manakala pintu untuk mereka kembali kepada BAM juga masih terbuka.

Sebelum ini BAM telah menggantung pemain seperti Tan Chung Seang dan Toh Ee Wei kerana meninggalkan kem latihan negara. Bagaimanapun Ee Wei kemudiannya menyertai semula BAM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1855
Kongsi :
Previous post Cadangan kurangkan had laju perlu perbincangan, penelitian – Wee
Next post Gadis bandar tak kekok ‘belai’ lembu
Ubah saiz-+=