Sorting by

×

Gadis bandar tak kekok ‘belai’ lembu

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TABOH NANING 21 Jan – Meskipun dilahir dan membesar di Putrajaya, Siti Nurhasmiza Mohd Zainudin, 18, tidak kekok menghabiskan masa di kandang ternakan lembu dan kambing bersama sepupunya di Kampung Rantau Panjang, di sini.

Gadis genit ini berkata, sejak beberapa bulan lalu dia menggunakan kesempatan yang ada untuk menimba lebih banyak ilmu mengenai cara menguruskan haiwan ternakan terbabit daripada sepupunya Norhanisa Noorsham, 21.

Katanya, minatnya itu timbul selepas dia menerima tawaran mengikuti Kursus Sistem Komputer di Kolej Komuniti Masjid Tanah, Okt lalu dan menetap di kampung berkenaan.

“Jadi saya tinggal di kampung kebetulan bapa saudara Noorsham Mohd Jan, mengusahakan ternakan lembu, kerbau dan kambing.

“Selepas berpeluang membantu Norhanisa, terus timbul minat untuk menjaga ternakan. Bukan sekadar beri makan malah saya juga belajar merawat ternakan yang sakit seperti mencuci luka dan menyembur ubat.

“Selepas beberapa bulan saya semakin faham dan mahir hinggakan boleh mengesan tanda-tanda pada haiwan mengalami masalah sakit perut atau demam,” katanya Ketika ditemui di Kampung Rantau Panjang, di sini.

Siti Nurhasmiza (kiri) membantu Norhanisa mengangkat makanan haiwan ruminan di kandang milik Norsham di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah.

Anak sulung daripada empat adik-beradik itu berkata, atas dasar minat dia juga tidak kisah meskipun terpaksa mengusung guni makanan ternakan seberat 50 kilogram setiap satu bersama sepupunya.

Kini dia merasakan 30 ekor lembu, 20 kerbau dan 100 kambing ternakan bapa saudaranya itu sebahagian daripada tanggungjawabnya.

“Pada hari tidak ada kelas saya atau masa lapang saya akan habiskan masa di kandang untuk menguruskan ternakan.

“Minat dan perasaan sayang pada haiwan melenyapkan rasa penat menguruskan kandang dan ini adalah satu kepuasan bagi saya,” katanya.

Dia dibesarkan dan bersekolah di Putrajaya berikutan ibunya bertugas di sebuah jabatan kerajaan manakala bapanya bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2518
Kongsi :
Previous post Lee Zii Jia ‘digantung’ dua tahun daripada sertai kejohanan antarabangsa – BAM
Next post PRN: Kerjasama dengan UMNO dibincang hanya selepas DUN Johor dibubar – Tuan Ibrahim
Ubah saiz-+=