Liga-M: Makan dan minum dalam stadium masih tidak dibenarkan – MFL

PETALING JAYA, 16 Feb- Penyokong bola sepak tempatan masih tidak dibenarkan makan dan minum di dalam stadium pada musim baharu Liga Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirai dengan perlawanan sumbangsih pada 26 Feb ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam memaklumkan permintaan untuk memberi kebenaran kepada penyokong makan dan minum merupakan satu daripada tiga pertimbangan ditawarkan badan pengelola liga tempatan itu yang ditolak kerajaan untuk musim baharu Liga-M nanti.

Stuart berkata pertimbangan kedua pula melibatkan kebenaran bagi pemain yang disahkan negatif COVID-19 namun mempunyai kontak rapat dengan pemain positif wabak itu untuk terus bermain, berbanding perlu menjalani tempoh kuarantin ketika ini.

“Kita menggunakan peraturan antarabangsa untuk pertimbangan kedua ini… kita telah alami di Piala AFF 2022 baru-baru ini yang mana terdapat dua pemain berkongsi bilik namun pemain yang negatif boleh main manakala positif kuarantin dalam bilik.

“Peraturan itu bukan kami cipta sendiri tetapi telah dilaksanakan di peringkat antarabangsa namun kita dapat maklum balas sebab peraturan kerajaan lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis memeterai kerjasama bersama rakan penaja baharu Liga-M, Luno, sebuah syarikat aset digital di Malaysia.

Selain itu, Stuart berkata pihaknya turut mencadangkan kuota kemasukan penyokong ditambah namun dengan syarat kedua-dua permintaan lain itu ditunaikan kerajaan terlebih dahulu.

MFL pada Oktober lepas menyatakan bahawa 50 peratus daripada kapasiti tempat atau maksimum 20,000 penonton di negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan hadir ke stadium.

Bagaimanapun, beliau berkata MFL memahami mereka perlu berwaspada dengan peningkatan mendadak kes COVID-19 sejak akhir-akhir ini dan akur dengan segala arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

Stuart berkata ini kerana sebagai rakan kerajaan, mereka bertanggungjawab memastikan keselamatan semua pihak terjamin terutamanya dalam membendung penularan wabak berkenaan.

Sementara itu, Stuart berkata kerjasama selama setahun bersama Luno dengan nilai tajaan berjumlah RM1 juta merangkumi pelbagai hak penjenamaan termasuk papan iklan di tepi padang, penggunaan logo kelab serta imej pemain dan pengaktifan jenama di dalam stadium.

Dalam pada itu, Pengurus Negara Luno Malaysia Aaron Tang menyifatkan kerjasama itu dapat mewujudkan peluang kepada penyokong bola sepak untuk menerokai dunia mata wang kripto.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

230
Previous post Melaka dipilih MOSTI ke Expo Dubai 2020
Next post Jangan ganggu ibu bapa yang hendak vaksinkan anak – Khairy