Lima anugerah khas sempena sambutan Maulidur Rasul

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BUKIT PALAH 1 Oktober – Lima anugerah khas diperkenalkan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1445H Peringkat Negeri Melaka 2023M, berlangsung hari ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, anugerah khas itu bertujuan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan organisasi berbanding individu sebelum ini.

“Anugerah tahun ini ada kelainan, jika sebelum ini kita beri kepada individu tetapi tahun ini pengiktirafan diberikan kepada organisasi banyak menyumbang kepada kemaslahatan ummah, urus tadbir organisasi yang baik serta cemerlang.

“Lima Anugerah Khas Maulidur Rasul yang diperkenalkan adalah kategori Masjid Kariah, Surau Kariah/Taman, Pengurusan Tanah Perkuburan Islam, Koperasi Masjid/Surau dan Institut Pendidikan Islam Swasta/Pondok/Tahfiz Al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Melaka pada Majlis Penutup Dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul 1445H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023M, di Dataran Pusat Islam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah; Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim dan Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Rahmad berkata, penganugerahan yang diberikan diharap menjadi motivasi kepada organisasi terutamanya masjid dan surau dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Pada sambutan tahun ini juga lebih 30 program dianjurkan menerusi penganjuran Karnival Semarak Cinta Rasul dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1699
Kongsi :
Previous post LTAM: 7 syarikat penerbangan beri keputusan hujung Oktober
Next post 50,000 pengunjung meriahkan KUAM2023
Ubah saiz-+=