Lima hari, 56 kes kemalangan akibat langgar lampu isyarat di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 2 Feb – Sebanyak 56 kes kemalangan akibat melanggar lampu isyarat direkodkan di Melaka dalam tempoh lima hari.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, data itu diperoleh menerusi Op Selamat 17 yang diadakan bermula 28 Jan sehingga semalam.

Jelas beliau, rata-rata kemalangan yang berlaku dipercayai disebabkan sikap kurang sabar masyarakat ketika berada di lampu isyarat.

Katanya, daripada jumlah itu 10 kes melibatkan mangsa cedera parah dan 46 kes melibatkan mangsa cedera ringan.

“Sepanjang lima hari Ops Selamat 17, sebanyak 273 kemalangan direkodkan dan 56 kes melibatkan kemalangan di lampu isyarat.

“Kita boleh tengok betapa masyarakat kurang bersabar menunggu di lampu isyarat dan kebanyakan kes adalah kerana menekan minyak (pandu laju) ketika lampu isyarat berkelip pada warna kuning.

“Ada juga yang cuba potong barisan di lampu isyarat kerana dipercayai mahu cepat dan menyebabkan kemalangan,” katanya.

HASAN

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengetuai Op Selamat 17 di Plaza Tol Ayer Keroh, hari ini.

Hasan Basri berkata, meskipun terdapat peningkatan kes kemalangan di negeri ini, namun jumlah kematian menurun pada tahun ini dengan hanya satu kematian direkodkan.

“Pada Ops Selamat 16 pada tahun 2020, sebanyak 261 kemalangan dan empat kematian direkodkan untuk tempoh lima hari, manakala dalam Ops Selamat 17, sebanyak 273 kemalangan dan satu kematian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1744
Kongsi :
Previous post Polis terima 305 laporan mangsa ribut dan puting beliung di Ipoh
Next post Op Selamat 17: JSPT Melaka keluar 4,279 saman bernilai hampir RM1.3 juta
Ubah saiz-+=