Logo Melaka United FC kekal guna tema Pokok Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 22 Ogos – Logo Kelab Bola Sepak Melaka (Melaka United FC) diberi nafas baharu apabila mengekalkan identiti pokok Melaka sejak penubuhannya pada 1924 menerusi penjenamaan semula sebentar tadi.

Penggunaan warna tema hijau putih turut dikekalkan dan dijenamakan hasil daripada cetusan idea peminat skuad Hang Tuah itu apabila sebanyak 100 penyertaan pertandingan mencipta logo terbabit telah disertai penyokong sukan berkenaan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md. Ali berkata, penyertaan yang dibuka pada 5 Ogos lalu telah mencipta saingan apabila menerima sambutan dari seluruh negeri.

Katanya, ciptaan logo baharu berkenaan adalah susulan apabila diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengarahkan setiap negeri menubuhkan kelab bola sepak dengan beberapa ketetapan sebelum 30 September ini.

“Melaka United FC yang bakal diswastakan masih di dalam proses pendaftaran persatuan dan kali ini kita telah mencipta logo dahulu seperti dilancarkan pada malam ini.

“Dengan pemenang juara keseluruhan dari Lubok China hari ini diharap ia mampu meningkatkan mutu permainan bola sepak Melaka.

“Malah, saya mengalu-alukan penaja di luar sana bagi menaja Melaka United FC sekali gus bersama dalam membangunkan kelab ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Makan Malam dan Pelancaran Logo Baharu Melaka United FC di Hotel Hatten, di sini malam tadi.

Program yang disempurnakan Yang Dipertua negeri, Tun Datuk Seri Utama (Dr)  Mohd Ali Mohd Rustam menyaksikan logo baharu yang mengekalkan tema hijau dikenakan pada kelab terbabit.

Hadir sama, Penasihat Persatuan Bolasepan Melaka United Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Pertandingan yang dijuarai penyokong dari Sungai Siput, Lubok China, Mohd Asri Ab Aziz,32, telah mendahului 100 penyertaan itu memenangi wang tunai RM5,000 berserta pakej penginapan 3 hari 2 malam.

Logo yang berkonsepkan ikon manusia pada jalinan imej pokok berkenaan melambangkan rakyat Melaka yang bersatu padu memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada skuad Sang Kancil itu.

Views:

942
Kongsi :
Previous post Melaka United lancar logo baharu
Next post Ketua Menteri tunjuk bakat mengail ikan darat
Ubah saiz-+=