M-WEZ mampu lonjak KDNK negeri dua peratus setiap tahun
AYER KEROH 13 Mac – Kerajaan Negeri perlu memastikan pembangunan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) sepanjang 33 kilometer pesisiran pantai Negeri Melaka sebagai ‘game changer’ kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam berkataa pembangunan koridor ekonomi baharu itu akan melonjakkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak dua peratus setiap tahun.
“Saya harap Kerajaan Persekutuan dapat memberi pengiktarafan kepada M-WEZ sebagai projek nasional yang menjadi salah satu pemangkin ekonomi negara.
“Saya menyeru Kerajaan Persekutuan agar dapat menyalurkan peruntukan sewajarnya bagi membina dan menaik taraf infrastruktur bagi menjana lebih banyak pelaburan ke M-WEZ.
“Saya berharap koridor ekonomi baharu ini akan melonjakkan peningkatan KDNK negeri sehingga dua peratus setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di Seri Negeri di sini, hari ini.
Hadir sama isteri Tun Mohd Ali, Toh Puan Asmah Abdul Rahman; Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker DUN Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari serta barisan Ahli-Ahli DUN Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.