Selesai projek pelancongan terbengkalai – TYT

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 13 Mac – Kerajaan Negeri diminta agar dapat menyelesaikan projek pelancongan terbengkalai di negeri ini selain menambah baik ‘physical look’ sebelum Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam berkata ia berikutan terdapat beberapa projek pelancongan yang terbengkalai dan sudah lama tidak beroperasi yang boleh menjejaskan imej Kerajaan Negeri.

“Saya minta Ketua Menteri agar dapat menyelesaikan projek-projek terbengkalai di negeri ini, fokus pembangunan pelancongan juga perlu dilihat di kawasan luar bandar dan bukan hanya tertumpu di kawasan bandar sahaja.

“Kita perlu pastikan semua produk pelancongan di Negeri Melaka bertaraf lima bintang bagi memenuhi permintaan pelancong, ini termasuk produk pelancongan baharu yang boleh diterokai seperti geo-pelancongan, arkeo-pelancongan dan eko-pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Tun Mohd Ali, Toh Puan Asmah Abdul Rahman; Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker DUN Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari serta barisan Ahli-Ahli DUN Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, Tun Mohd Ali berpandangan agar pindaan dibuat ke atas Enakmen Warisan Negeri untuk memberi fleksibiliti kepada Kerajaan Negeri.

“Ini juga bagi menguruskan kawasan warisan seperti meningkatkan kemudahan infrastruktur dan jaringan telekomunikasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2190
Kongsi :
Previous post M-WEZ mampu lonjak KDNK negeri dua peratus setiap tahun
Next post Unit IPT Melaka perlu diaktifkan – Tun Mohd Ali
Ubah saiz-+=