MAFI keluarkan 166,769 surat kebenaran rentas daerah, negeri ketika PKP

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengeluarkan 166,769 surat kebenaran merentas daerah dan negeri kepada pengusaha pertanian sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak pembaziran hasil pertanian.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata ia bagi memudahkan aktiviti pemasaran dan pengedaran produk berasaskan pertanian.

“Sewaktu PKP dilaksanakan, aktiviti pertanian telah dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu dan dibenarkan beroperasi bagi memastikan rantaian bekalan makanan tidak terputus untuk kegunaan rakyat Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang meminta MAFI menyatakan langkah-langkah penyelesaian pemutusan rantaian bekalan sewaktu PKP yang mengakibatkan pembaziran hasil pertanian.

Ahmad berkata beberapa strategi dilaksanakan bagi mengelak pembaziran hasil pertanian sewaktu PKP termasuk mengadakan Pasar Segar Terkawal sewaktu PKP 1.0 (30 Mac hingga 1 Mei 2020) dan PKP 3.0 (1 Jun hingga 11 Sept 2021).

Beliau berkata strategi lain ialah meningkatkan kecekapan pengedaran melalui kerjasama strategik dengan penyedia perkhidmatan first-mile (ladang/pengeluaran kepada hub pengedaran atau pelanggan) dan last mile (hub pengedaran terus kepada pelanggan) seperti Pos Laju, City-Link, Line Clear, Lalamove dan GDEX.

Beliau berkata kerjasama itu memberi pilihan kepada pengeluar untuk mendapatkan perkhidmatan penghantaran pada kos yang lebih rendah.

“MAFI turut membuka alternatif pasaran dalam talian melalui portal e-dagang seperti AgroBazaar Online, ‘market place’ AgroBazaar Malaysia di Shopee, Shop Malaysia Online di LAZADA dan Air Asia Farm. Strategi ini dapat mengurangkan kebergantungan pengeluar terhadap kaedah pemasaran fizikal sahaja,” katanya.

Selain itu, katanya MAFI turut menggalakkan aktiviti pemprosesan hasil pertanian menggunakan fasiliti yang disediakan sama ada untuk buah-buahan mahupun produk hiliran.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

777
Kongsi :
Previous post Bot karam, 10 pendatang tanpa izin ditemukan lemas
Next post 13.1 peratus remaja, wanita B40 tidak mampu beli tuala wanita
Ubah saiz-+=