Majikan wajib lapor kemalangan, kematian pekerja

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

PAYA RUMPUT 1 Mei. – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka mengingatkan semua majikan di negeri ini untuk melaporkan kemalangan atau kematian pekerja bagi mengelakkan tindakan sewajarnya.

Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar berkata, kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan majikan itu dikenakan tindakan denda tidak lebih RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Untuk makluman, tahun lalu kita buat 90 kes pendakwaan dengan 15 kes daripadanya membabitkan kesalahan majikan melaporkan kemalangan pekerja.

“Tahun ini pula sebanyak 44 kes pendakwaan direkodkan setakat ini,” katanya.

ABD Razak menyerahkan hamper hari raya kepada keluarga arwah Muhammad Syahmi.

 

Beliau berkata demikian kepada MHI selepas Jelajah Perkeso Prihatin 50 Tahun Program Serahan Faedah Sempena Hari Raya di rumah keluarga arwah Muhammad Syahmi Rosdi di Taman Paya Emas, semalam.

Abd Razak turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan khidmat orang tengah atau agen yang mengenakan bayaran atau komisen.

“Ini kerana khidmat menguruskan tuntutan faedah Perkeso percuma dan Perkeso komited dalam menguruskan permohonan tuntutan faedah Orang Berinsurans (OB) yang layak.

“Mereka-reka kes faedah ini merupakan satu kesalahan jenayah, kepada majikan di luar saya ingatkan jangan sesekali bersubahat dengan pekerja seperti ini di dalam membuat tuntutan Perkeso,” katanya.

Tambahnya, tahun lalu Perkeso Melaka membuat bayaran kepada seramai 6,685 penerima kes faedah membabitkan nilai lebih RM2.5 juta.

“Manakala setakat Mac lalu sebanyak 1,609 kes faedah melibatkan nilai lebih RM4.8 juta direkodkan.

“Jumlah faedah diterima mereka berbeza dan bergantung kepada kecederaan dialami. Jika kecederaan serius kita akan buat pampasan mengikut peraturan ditetapkan Perkeso,” katanya lagi.

Untuk rekod Allahyarham Muhammad Syahmi bekerja sebagai pencuci kereta di Mr Car Wash di Taman Melaka Raya mengalami kemalangan pada 12 April lalu semasa dalam perjalanan pulang dari kerja ke rumah.

Motosikal ditunggang Muhammad Syahmi merempuh sebuah kereta di Jalan Tanjung Minyak hingga mengakibatkan kecederaan parah di kepada dan meninggal di tempat kejadian.

ABD Razak menyerahkan replika cek Faedah Orang Tanggungan RM724.50 sebulan pada Rosdi Baba iaitu bapa arwah Muhammad Syahmi.

Perkeso 2 – ABD Razak menyerahkan hamper hari raya kepada keluarga arwah Muhammad Syahmi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1716
Kongsi :
Previous post PGA 7 rampas mercun, bunga api bernilai lebih RM20,000
Next post Penerima bantuan JKM dijangka terus meningkat- Rina
Ubah saiz-+=