“Mak, adik dah nak pergi…”

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

PADANG TEMU 14 Disember – “Mak, adik dah nak pergi, kalau adik dah tak ada mak duduk dengan abang kat Sungai Udang”.

Itu pesanan terakhir Allahyarham Muhammad Sidek Abd Karim, 29, kepada ibunya selepas ditemui mati lemas di Sungai Duyong, di sini pada jam 1.50 petang tadi.

Mayat Muhammad Sidek ditemui dalam keadaan tertiarap tersangkut pada pokok bakau oleh pasukan bomba selepas dipercayai terjun dari jambatan sungai berkenaan.

Abang mangsa, Muhammad Khairi berkata mangsa dikatakan keluar dari rumah seorang lagi abangnya, Mohd Ridhuan kira-kira jam empat pagi tadi dan tidak memaklumkan arah tujuan kepada ahli keluarga.

Katanya, abangnya kemudian melakukan pencarian di kawasan sekitar Semabok sebelum menemui motosikal mangsa diletakkan di jambatan tersebut.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada Ahad lalu dan arwah ada meninggalkan pesanan kepada mak kami.

“Dia sempat pesan “Adik tak nak susahkan Mak lagi, tak nak susahkan adik-beradik kita,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Muhammad Khairi berkata, Allahyarham merupakan anak keempat dari lima beradik dan sebelum ini mendapatkan rawatan sebulan sekali bagi merawat kesihatan mental dialaminya.

“Sebelum ini, arwah sihat sahaja namun akibat kemalangan tujuh tahun lalu dan mengalami pendarahan di kepala, kesihatannya semakin terganggu.

“Walaupun keadaanya begitu, dia tidak mengganggu orang dan hanya duduk di rumah, kadang-kadang rajin mengaji Al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 5.10 pagi daripada orang awam memaklumkan mangsa dipercayai terjun ke dalam selepas penemuan motosikal mangsa di lokasi kejadian.

Katanya, berikutan itu seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu dan Pasukan Penyelam di Air (PPDA) Melaka Tengah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada keluasan sekitar 200 meter di bahagian kiri dan kanan dari jambatan sejauh 200 meter dengan melakukan pencarian di permukaan air sungai sebelum operasi penyelaman dilakukan,” katanya.

“Mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian ditemui tertiarap dan tersangkut di pokok bakau kira-kira 150 meter dari lokasi jambatan berkenaan menghala ke arah pintu air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada jam 1.50 petang tadi dipercayai dihanyutkan ketika air pasang,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Views:

569
Kongsi :
Previous post Melaka cadang penerbangan terus ke KK, Pulau Pinang
Next post Jepun optimis prospek hubungan ekonomi yang lebih kukuh dengan Malaysia
Ubah saiz-+=