Sorting by

×

Mangsa banjir Johor, Pahang terima baucar Payung Rahmah

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 18 Mac – Seramai 1,000 mangsa banjir di Johor dan Pahang akan menerima baucar peralatan elektrik bernilai RM300 menerusi Program Payung Rahmah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, baucar itu diberikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membantu golongan miskin tegar serta B40 membeli peralatan elektrik.

“KPDN melalui SSM setuju melaksanakan inisiatif Payung Rahmah bagi meringankan beban mangsa banjir di Johor khusus di  Segamat dan Batu Pahat selain sebahagian di Pahang dengan memperuntukkan bajet untuk 1,000 mangsa.

“Kita akan bantu mereka dengan baucar yang setiap satu bernilai RM300. Mereka boleh beli barang mesin basuh, peti sejuk atau peralatan elektrik lain yang musnah akibat banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu SSM Melaka yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Menurut Salahuddin, pihaknya juga turut berkolaborasi dengan beberapa syarikat pengeluar barangan elektrik bagi membantu memudahkan mangsa membuat pembelian.

“Mereka juga (syarikat pengeluar) akan menawarkan diskaun yang akan kita bincangkan. Jadi syarikat ini mungkin menjual dengan harga diskaun dan KPDN akan tambah lagi baucar RM300.

Ujarnya KPDN akan pastikan golongan yang benar-benar memenuhi kriteria dan tergolong dalam golongan miskin tegar serta B40 menerima inisiatif ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2541
Kongsi :
Previous post Praktik e-Pay, e-Wallet di bazar Ramadan
Next post Mayat dipercayai lelaki hilang ditemui
Ubah saiz-+=