Mangsa kebakaran berharap miliki kediaman baharu

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDA HILIR 22 November – “Biarlah walaupun hanya sebuah rumah kecil, saya amat berharap dapat memiliki semula kediaman sendiri,” itu luah mangsa kebakaran rumah Rostam Mohd Kassim, 50.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang, pada Jumaat, rumah pusaka didiami Rostam bersama empat ahli keluarga yang lain musnah terbakar dan susulan kejadian itu dia serta keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Menurut Rostam, meskipun kini dia bersama keluarga ditempatkan di rumah kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Permatang Pasir, namun dirinya tetap bingung memikirkan keadaan kediamannya yang kini hanya tinggal rangka.

“Sayu dan sedih setiap kali melihat keadaan rumah ini, walaupun saya tidak dapat mempunyai nilai kerugiaan sebenar akibat kebakaran tetapi saya yakin untuk membina kembali sebuah rumah baharu memerlukan kos yang tinggi.

“Oleh itu saya amat berharap akan ada pihak yang tampil untuk membantu menghulurkan bantuan agar dapat kembali saya memiliki kediaman baharu. Namun begitu saya amat berterima kasih kepada wakil-wakil Kerajaan Negeri yang tampil menghulurkan bantuan termasuklah sumbangan pakaian buat dua cucu,” katanya.

Kakitangan MBMB itu ditemui di kediamannya selepas menerima kunjungan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin, petang semalam.

Sementara itu itu, Kalsom berkata, selain bantuan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pihaknya juga akan memanjangkan kejadian yang menimpa Mohd Rostam kepada Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah bagi membantu mendapatkan bantuan pembinaan kediaman baharu.

“Kita amat bersimpati dengan apa yang berlaku dan menimpa keluarga ini dan menerusi portfolio saya kita akan melihat bantuan yang boleh disalurkan kepada mangsa bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga ini. Kejadian ini mengakibatkan keluarga ini tinggal sehelai sepinggang tanpa dapat menyelamatkan apa-apa barang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

793
Kongsi :
Previous post Showcase Neo-Tradisisme: Angkat martabat adat perpatih
Next post Bunga ‘annual’ ceriakan landskap setiap bulan – MBMB
Ubah saiz-+=