Showcase Neo-Tradisisme: Angkat martabat adat perpatih

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

DUYONG 21 November – Showcase Neo-Tradisisme: Irama Tradisional Negeri Sembilan dan Melaka 2023, bakal memukau penonton dengan keasyikan persembahan unik garapan lagu-lagu tradisional yang diberi nafas baharu.

Pengasas Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan, Prof.Madya Dr. Ahmadrashidi Hasan berkata, ‘showcase’ yang berlangsung di Dewan Encore pada 2 Disember ini, bermula jam 8 malam itu bertujuan untuk mengangkat martabat seni muzik dan tarian yang berasaskan adat perpatih.

Katanya, dengan menyasarkan hampir 1,800 penonton, showcase itu bakal memberikan pelbagai kelainan dengan gabungan baharu (fussion) menggunakan alat muzik kontemporari namun dapat mengekalkan elemen tradisional pada malam itu nanti.

“Sebelum melaksanakan showcase ini, saya sendiri telah menjalankan penyelidikan pada tahun 2016 sebelum menerbitkan dokumentari mengenai pemusik tradisional Negeri Sembilan.

“Kebanyakan orang hanya tahu mengenai Cak Lempong, namun ramai lagi di luar sana yang tidak tahu dengan permainan muzik tradisional seperti Tumbuk Kalang, Bongai dan Randai.

“Secara keseluruhan seramai 170 orang termasuk Orkestra Kelab Teater Asar (KTA), Kelab Penggiat Teater Negeri Sembilan (KASETN9), Persatuan SOKA Gakkai Malaysia dan pelbagai lagi akan membuat persembahan pada malam showcase itu nanti,” katanya.

Hadir sama, Penasihat ArtFAS Yayasan Hasanah, Tan Sri Datuk Norliza Roffli; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias dan Pengasas Pertubuhan Gerak Amal Negeri Sembilan, Datuk Sr.Ruzsyahriman Jenal.

Mengulas lanjut, Dr. Ahmadrashidi berkata showcase yang dianjurkan oleh Kerjasama antara Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan dan Pertubuhan Gerak Amal Komuniti Negeri Sembilan itu dijayakan melalui geran ArtFAS oleh Yayasan Hasanah.

“Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket ke showcase ini boleh membeli melalui tempahan atas talian https://encore-melaka.com/show/. pada harga RM148, RM98 dan RM68,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2926
Kongsi :
Previous post Pukul pengadil: MALA tingkat aspek keselamatan
Next post Mangsa kebakaran berharap miliki kediaman baharu
Ubah saiz-+=