Masih ada ruang UMNO-PAS bekerjasama

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDA HILIR 2 Nov – UMNO masih memberikan ruang kepada PAS sekiranya parti itu ingin bekerjasama demi mencapai penyatuan ummah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Nov ini.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, beliau mengharapkan adanya satu titik pertemuan yang baik akan berlaku antara UMNO dan PAS bagi membela umat Islam terutamanya orang Melayu di negara ini.

“Sebagai parti yang sentiasa membuka ruang untuk mencari kebaikan, mencari perdamaian dan untuk mencari kekuatan ummah, kita UMNO tidak akan memutuskan hubungan dengan PAS.

“Tetapi kita yakin dan percaya keseluruhan ahli-ahli PAS mengharapkan supaya satu titik pertemuan yang baik akan berlaku di antara UMNO dan PAS bagi membela umat Islam terutamanya orang Melayu di dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Kawalan Trafik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (SPiKTRA-M) di Hotel Hatten, hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu menjelaskan, UMNO tidak menganggap keputusan yang dipilih PAS semalam untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka akan memutuskan hubungan kedua parti ini.

“Kita Masih lagi membuka ruang kepada PAS kerana kita mengharapkan supaya penyatuan Melayu Islam di negara kita ini akan dapat kita dicapai,” katanya.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung semalam telah meluluskan penggunaan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka, 20 Nov ini.

Ujarnya, ketetapan itu dibuat setelah mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama’ PAS yang bersidang pada 31 Oktober selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

636
Kongsi :
Previous post Suntikan dos penggalak untuk Ahli Parlimen di Dewan Rakyat
Next post Melaka umum rebat 15 peratus bil air untuk pengguna terjejas banjir
Ubah saiz-+=