Masjid Al-Muttaqin jadi ikon pelancongan Islam

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERKAM 25 Ogos – Masjid Al-Muttaqin di Kampung Tedong berpotensi untuk dijadikan sebagai antara ikon pelancongan Islam sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kedudukan Masjid Al-Muttaqin yang dikelilingi sawah padi amat menarik dan sesuai bagi penganjuran aktiviti pelancongan.

Malah Ab Rauf, menyarankan semua pihak pengurusan masjid di Negeri Melaka, merangka atau memikirkan potensi produk pelancongan yang boleh diwujudkan.

“Konsep pelancongan Islamik ini luas, seperti pemakanan, perayaan yang disambut dalam kalendar Islam termasuk Maulidur Rasul dan sebagainya.

“Seperti masjid di Kampung Tedong ini, mempunyai pemandangan sawah padi yang cantik dan boleh dijadikan sebagai satu lokasi tarikan pelancongan khususnya dalam kawasan kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Masjid Al-Muttaqin di Kampung Tedong, di sini, hari ini.

Perasmian Masjid Al-Muttaqin disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan serta Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Sementara itu Ab Rauf berkata, sempena sambutan TMM2024 Kerajaan Negeri turut merencana penganjuran bulan pelancongan Islam pada tahun hadapan.

“Setakat ini penilaian tarikh yang sesuai sedang dijalankan. Jadi pada bulan ini nanti kita turut memperkukuhkan dakwah dalam kalangan umat Islam di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6827
Kongsi :
Previous post Dua beradik mualaf cekal jalani hidup serba kekurangan
Next post Masjid bukan medan perbalahan politik
Ubah saiz-+=