MBMB, MPHTJ benarkan premis berlesen beroperasi sehingga 24 jam sehari

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 16 Mac – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) membenarkan kesemua pemilik premis di bawah bidang kuasanya yang mempunyai lesen pengoperasian 24 jam meneruskan perniagaan seperti biasa.

Yang Dipertuanya, Datuk Shadan Othman berkata, pemilik premis terlibat bagaimanapun perlu memohon kebenaran di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan.

“Saya difahamkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan premis-premis yang terlibat ini untuk meneruskan perniagaan 24 jam.

“Contohnya, rangkaian restoran makanan segera, McDonald’s, kedai mamak 24 jam, kedai serbaneka 24 jam 7 Eleven dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini di sini hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman

Jelasnya, bagi premis yang tidak ada lesen pengoperasian 24 jam, mereka perlu menutup perniagaan pada jam 12 tengah malam seperti biasa.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meminta supaya pemilik premis berlesen 24 jam di dalam pentadbirannya membuat permohonan lanjutan operasi.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu ketika dihubungi MHI berkata, peniaga yang ingin melanjutkan tempoh perniagaan selepas jam 12 tengah malam perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kalau ikutkan SOP bawah MKN, kita benarkan di Melaka kedai-kedai ini sehingga jam 12 tengah malam, tetapi kalau katakan dia nak lanjutkan tempoh niaga 24 jam kena buat permohonan.

“Tapi untuk di kawasan MBMB, lebih-lebih pun (waktu maksimum operasi) kita benarkan setakat jam 2 pagi sahaja.

“Kita kena ingat, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kerajaan masih menekankan SOP seperti PKP Bersyarat (PKPB), kita tak boleh longgarkan sangat kerana pandemik ini masih belum selesai,” katanya

RESTORAN mamak, kedai serbaneka di Melaka boleh beroperasi 24 jam sehari tertakluk pada lesen dan syarat dikeluarkan PBT. Foto: MR Azli

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1103
Kongsi :
Previous post Kerajaan perlu teliti kembali dasar untuk tingkatkan pertumbuhan sosioekonomi masa depan
Next post Lelaki mengaku bersalah dera anak kekasih berusia tujuh bulan
Ubah saiz-+=