Melaka anjur Bacaan Yasin Perdana setiap Jumaat

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 1 Jun – Melaka akan menganjurkan Majlis Bacaan Yasin Perdana serentak di seluruh negeri pada jam 9 pagi setiap hari Jumaat bermula 4 Jun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, majlis itu diadakan bertujuan mendapatkan perlindungan dan kerahmatan Allah SWT untuk terus membantu negara dan negeri ini memerangi COVID-19, selain mendoakan agar diberi kemenangan kepada rakyat Palestin yang dizalimi.

Katanya, program anjuran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) itu akan diadakan secara dalam talian yang mana majlis pelancarannya akan diadakan menerusi Google Meet yang dipancarkan dari Seri Bendahara, pada Jumaat ini (4 Jun).

“Orang ramai boleh bersama-sama mengikuti majlis ini menerusi siaran langsung di Facebook JAIM, JKMM, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka dan Melaka Hari Ini.

“Program ini akan terus dilaksanakan bermula jam 9 pagi setiap hari Jumaat sehingga pandemik COVID-19 berakhir di negeri dan negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga pada masa sama akan terus melipatgandakan usaha dan melakukan pelbagai inisiatif dalam memerangi pandemik COVID-19 di negeri ini.

Beliau turut meminta rakyat Melaka untuk terus berdisiplin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MKN dan JAIM sepanjang tempoh-tempoh getir pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ini.

“Kita yakin jika seluruh rakyat Negeri Melaka sedar dan sayangi diri serta keluarga mereka maka mereka akan patuhi SOP sebaiknya dan pada masa sama dapat membantu kerajaan menghapuskan COVID-19 supaya kita semua akan kembali hidup sejahtera seperti sedia kala,” katanya lagi.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1242
Kongsi :
Previous post Rugi RM223,220 terpedaya jualan Honda Civic terpakai RM17,800
Next post PKP Penuh: Ahli Parlimen, ADUN dilarang anjur majlis rasmi
Ubah saiz-+=