Melaka anjur persidangan, ekspo digital bertaraf dunia

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

SERI NEGERI 5 Julai – Melaka bakal menganjurkan Persidangan Antarabangsa dan Expo Smart Melaka 2023 (SMIX 2023) melibatkan lebih 600 peserta dan 100 pempamer pada 12 hingga 14 Oktober depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran SMIX 2023 diadakan dengan skala lebih besar daripada penganjuran kali pertama tahun lalu.

Katanya, Persidangan Antarabangsa Smart Melaka 2022 (SMIC2022) 6 dan 7 Disember tahun lalu, menerima penyertaan 600 peserta termasuk 27 panel seperti Google dan Maxis sebagai penaja utama, 10 moderator dan 10 pempamer.

“Berbeza dengan penganjuran program lalu, beberapa penambahbaikan pada SMIX 2023 dibuat termasuk menampilkan tiga personaliti berprofil tinggi dalam industri digital memberikan ucap tama, selain 10 moderator dan 40 ahli panel terdiri pakar rujuk dan pemain industri teknologi digital.

“Sebagaimana tahun lalu, Google menghantar wakil dan syarikat itu menawarkan beberapa program kepada Kerajaan Negeri termasuk memberikan biasiswa kepada pelajar.

“SMIX 2023 akan diadakan selama tiga hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang mana lokasi itu bukan sahaja dijadikan tempat persidangan malah ‘pasar raya’ digital, maknanya apa juga komunikasi digital dalam bentuk pengguna seperti telefon bimbit, alat elektrik digital boleh dipamerkan pada ekspo berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pra Pelancaran SMIX 2023 di Dewan Tun Mutakhir di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan; Timbalannya, Mohd Noor Helmy Abdul Halem; barisan Exco Kerajaan Negero serta ketua-ketua jabatan.

Antara pengisian SMIX 2023 termasuk Karnival Kerjaya Digital dan Teknologi, ‘Business Pitching for Startups’, pertandingan e-sukan, ‘networking dinner’, ‘digital walk’ yang keseluruhan program dijangka melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk remaja, pelajar, belia dan usahawan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, SMIX 2023 menyasarkan penglibatan seramai 10,000 terdiri daripada peserta dan pengunjung.

“Dalam penyediaan kita menyambut kehadiran pengunjung ini, Melaka telah menyiapkan 65 peratus dalam kawasan bandar untuk memperoleh liputan rangkaian 5G).

“Selepas itu, kita lihat berapa jumlah pelabur yang akan datang, dan ia mungkin boleh dijadikan rujukan kepada negeri lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1520
Kongsi :
Previous post Salah guna bantuan, nelayan berdepan tindakan tegas – LKIM
Next post Melaka alu-alukan pemain industri digital jadi rakan strategik SMIX 2023
Ubah saiz-+=