Melaka antara negeri terkehadapan terima liputan 5G

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PAYA RUMPUT 18 November – Melaka menjadi antara negeri terkehadapan dalam pelaksanaan dan liputan perkhidmatan 5G di Malaysia.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin berkata, walaupun sasaran awal perkhidmatan itu hanya akan tersedia pada 2023, namun Kerajaan Negeri menerusi Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) telah mengorak langkah lebih awal bermula tahun ini.

Rais berkata hasilnya, setakat November sebanyak 59 tapak penyedia perkhidmatan 5G telah dibina dan daripada jumlah itu, 32 kawasan sudah menerima liputan 5G.

“Kesemua 32 kawasan itu membabitkan daerah Melaka Tengah yang mana kadar liputannya sudah mencapai 46 peratus di kawasan berpenduduk dan menjelang hujung tahun ini, ia disasarkan akan meningkat kepada 55.2 peratus.

“Untuk fasa 2 yang akan bermula tahun depan, lokasi itu akan diperluaskan bukan sahaja di daerah Melaka Tengah, bahkan turut meliputi daerah Alor Gajah dan Jasin yang akan dilakukan secara berperingkat.

“Selain memfokuskan kepada kawasan pelancongan dan berkepadatan tinggi, perkhidmatan 5G ini juga akan diperluaskan di kawasan yang memerlukan liputan telekomunikasi tinggi seperti universiti dan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali pada Program Walkabout 5G@Melaka di Taman Krubong Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Melaka Muhammad Luqman Ali; Ketua Pegawai Eksekutif MICTH Dr Nazdiana Ab Wahab dan lain-lain kenamaan.

Jelas Rais, walaupun ada beberapa kawasan masih mempunyai masalah dalam liputan 4G, namun Kerajaan Negeri menerusi MICTH tidak bersikap lepas tangan, sebaliknya sedang giat membina menara baharu di kawasan yang terlibat.

Pada masa sama, katanya, liputan 5G perlu digerakkan seiring memandangkan kemajuan itu merupakan penggerak utama pertumbuhan ekonomi khasnya dalam bidang perindustrian dan teknologi pintar.

“Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Melaka dalam memastikan aspek telekomunikasi diberi perhatian secara meluas dengan segera.

“Saya berharap selepas ini, semua pihak yang terlibat termasuah MCMC dan Digital Nasional Berhad (DNB) selaku Syarikat Bertujuan Khas Kerajaan Malaysia dapat memastikan kesemua 133 lokasi yang disasarkan mendapat liputan 5G menjelang 2023 demi kemajuan negeri dan manfaat rakyat Melaka sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2341
Kongsi :
Previous post Pengundi minta jangan lupa mereka lepas PRU15 – Mohd Ridhwan
Next post ‘Mohd Ridhwan penyabar, rajin & suka bantu masyarakat’
Ubah saiz-+=