Melaka bakal miliki universiti sendiri

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 18 Julai – Melaka mungkin bakal memiliki universiti sendiri dalam masa terdekat selepas jawatankuasa teknikal penubuhan membabitkan perkara itu telah diumumkan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal & Vokasional Sains dan Inovasi) Negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, universiti yang dipanggil Universiti Melaka (UniMel) itu bakal menjadi institut pengajian tinggi swasta (IPTS) pertama milik Kerajaan Negeri Melaka.

Menurutnya, dalam mesyuarat pertama yang diadakan baru-baru ini, penubuhan universiti berkenaan dianggap sesuatu yang istimewa, memandangkan ia turut mendapatkan pandangan pakar dalam bidang pendidikan negara.

“Mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Teknikal Penubuhan Universiti Melaka (JTP UniMel) ini sesuatu yang istimewa dan mencabar minda juga kerana yang turut serta membantu dalam sesi sumbang saran ialah Presiden Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose yang cukup bersemangat, bijaksana dan cukup kritis pemikirannya.

“Selain itu, ia turut dibantu Pengarah Bahagian Governan IPTS di Jabatan Pendidikan Tinggi, Dr. Zubaidah Aman, Prof. Datuk Dr. Mohd. Taib Dora (Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM)) dan Akmal Abdul Manap (Ketua Pegawai Eksekutif Melaka International College of Science & Technology (MiCOST)).

“Saya percaya ini hanyalah langkah pertama. Semoga aspirasi Kerajaan Negeri Melaka ke arah kelahiran UniMel ini tercapai kelak. Bersamalah kita mendoakan hasrat ini berjaya,” katanya.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan Naib Canselor KUIM, Prof. Madya Ts. Dr. Afizan Azman dan Pendaftar MiCOST, Morita Muhamad.

Mengulas lanjut, Noor Effandi berkata, penubuhan UniMel itu bukanlah dibangunkan di sebuah tapak baharu, sebaliknya ia akan menggunakan milikan sedia ada kerajaan negeri yang akan diperbaiki.

Views:

809
Kongsi :
Previous post MBMB gesa SWCorp selesai isu pengelenggaraan segera
Next post Nukilan Adlina harumkan nama sekolah
Ubah saiz-+=