Melaka benarkan nikah, cerai dan rujuk melalui janji temu

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 29 Jun – Segala urusan nikah, cerai dan rujuk (NCR) serta kekeluargaan Islam di Melaka akan dibenarkan bermula 1 Julai.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, urusan itu bagaimanapun hanya dibenarkan melalui janji temu di kaunter Bahagian Pembangunan Keluarga (BPK) JAIM dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Jelasnya, kaunter janji temu itu akan dibuka bermula 8.30 pagi hingga 12 tengah hari pada setiap Isnin, Selasa dan Rabu, kecuali pada hari kelepasan am.

“Antara perkhidmatan yang dibuka kepada orang awam melalui janji temu bermula 1 Julai ialah pelaksanaan majlis akad nikah, permohonan baharu kebenaran berkahwin, permohonan lanjutan kebenaran berkahwin dan permohonan baharu pendaftaran nikah, cerai dan rujuk.

“Selain itu, urusan lain yang akan dibuka ialah temuduga perkahwinan bagi teruna dan dara berumur 35 tahun dan berstatus duda, janda, balu atau poligami; pengesahan wakalah wali, pembetulan kesilapan pada sijil NCR, khidmat nasihat dan runding cara kekeluargaan dan kursus pra perkahwinan dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata, majlis akad nikah hanya dibenarkan bagi pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin daripada PAID.

Jelasnya, keutamaan majlis akad nikah hanya akan diberikan kepada pemohon yang telah mengemuka tarikh cadangan majlis akad nikah pada 1 hingga 31 Julai.

“Majlis hanya boleh diadakan di PAID atau mana-mana lokasi yang dibenarkan JAIM.

“Bagi memastikan urusan akad nikah berjalan lancar, majlis hanya akan diadakan dalam tempoh 15 minit (termasuk khutbah nikah dan lafaz taklik) dengan kehadiran tidak lebih enam orang.

“Pengantin dan keluarga pengantin dari negeri berbeza hendaklah mendapat kebenaran pihak polis untuk hadir ke majlis akad nikah yang telah ditetapkan.

“Bakal pengantin termasuk wali dan wakil keluarga yang hadir ke majlis akad nikah juga wajib menjalani ujian calitan COVID-19 dalam tempoh tiga hari sebelum majlis,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1656
Kongsi :
Previous post 63 pengamal media Melaka terima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech
Next post Kaunter perkhidmatan kerajaan beroperasi secara fizikal mulai 1 Julai- KSN
Ubah saiz-+=