Melaka benarkan solat berjemaah di masjid, surau mulai esok

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 11 Jun – Melaka membenarkan solat fardu secara berjemaah serta menambah bilangan jemaah solat Jumaat di masjid-masjid dan surau negeri ini mulai esok.

Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, kebenaran itu diputuskan melalui Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-6 yang bersidang melalui sidang video pada 9 Jun 2020 dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka pada tarikh yang sama.

Katanya, kebenaran itu bagaimanapun perlulah mengikut syarat yang ditetapkan, termasuklah bilangan jemaah tidak melebihi 40 peratus daripada kapasiti asal masjid atau surau.

“Pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seluruh negeri Melaka dibenarkan kecuali kawasan yang diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Para Jemaah diminta berwuduk dari rumah, membawa sejadah sendiri dan memakai topeng muka untuk hadir ke masjid atau surau.

“Kehadiran Jemaah adalah berdasarkan kepada kapasiti yang boleh ditampung oleh masjid atau surau dengan kedudukan antara saf dan jemaah berdasarkan penjarakan sosial ( (anggaran jemaah, kurang daripada 40 peratus daripada kapasiti asal masjid).

“Sebagai contoh, sekiranya kapasiti asal bagi sebuah masjid boleh memuatkan seramai 400 orang jemaah, makanya bilangan jemaah yang dihadkan maksimum tidak boleh melebihi 160 orang jemaah. Bagi masjid-masjid besar, had maksimum jemaah yang dibenarkan adalah seramai 250 orang sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Sulaiman, sebarang bentuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dan surau juga telah dibenarkan, termasuklah majlis ilmu seperti kuliah Maghrib dan Subuh serta majlis akad nikah.

“Kuliah Maghrib, kuliah Subuh dan kelas Takmir dibenarkan dengan jemaah mematuhi penjarakan sosial, yang mana kuliah Maghrib hendaklah ditamatkan sebaik sahaja masuk waktu Isyak dan kuliah Subuh dilaksanakan selama 20-30 minit sahaja. Ceramah umum yang melibatkan penceramah jemputan luar adalah tidak dibenarkan.

“Selain itu, aktiviti yang disenaraikan dalam aktiviti yang dilarang seperti kenduri, gotong-royong dan seumpamanya juga tidak dibenarkan,” katanya lagi.

Views:

645
Kongsi :
Previous post Jumlah kenderaan di lebuh raya meningkat 100 peratus hari pertama PKPP
Next post Padah pukul isteri, penganggur dihadapkan ke mahkamah
Ubah saiz-+=