Melaka bentang rang undang-undang Perbadanan M-WEZ

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SERI NEGERI, 23 Sept – Kerajaan Melaka membentang rang undang-undang enakmen penubuhan Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) di persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata Perbadanan M-WEZ akan menjadi agensi tonggak pembangunan koridor ekonomi berimpak tinggi di sepanjang 33 km di persisiran pantai Melaka.

Beliau menyifatkan M-WEZ sebagai “Game-Changer” dan “Big Move” untuk melonjakkan ekonomi Melaka dan negara.

“Perbadanan ini kelak akan menjalankan fungsi sebagai perancang, penyelaras, pelaksana dasar dan pemudah cara bagi segala urusan di dalam kawasan M-WEZ selain daripada usaha mempromosi pelaburan kepada bakal pelabur dari dalam dan luar negara,” katanya.

Koridor yang berorientasikan maritim dijangka menarik pelaburan sebanyak RM100 juta dalam masa 15 tahun, katanya ketika berucap membentang rang undang-undang tersebut.

“M-WEZ juga dijangka menawarkan sekurang- kurangnya 5,000 peluang pekerjaan baharu setiap tahun dan sekali gus dapat meningkatkan pendapatan rakyat setempat,”katanya.

Ia juga dijangka menyumbang sebanyak 5.0 peratus atau RM2 billion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

“Secara keseluruhannya, M-WEZ memfokuskan kepada pembangunan persisiran pantai di kawasan tambakan laut sedia ada dengan keluasan sejumlah 25,000 ekar bermula dari Pantai Puteri sehingga Umbai di sepanjang 33 km pesisir pantai Melaka,”katanya.

Sulaiman berkata keanggotaan Perbadanan M-WEZ adalah merangkumi individu seperti berikut:

  1. Pengerusi, iaitu Ketua Menteri Melaka;
  2. Seorang Timbalan Pengerusi yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri;
  3. Tiga orang ahli Ex-Officio iaitu orang yang pada ini menyandang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri;
  4. Tiga anggota lain yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri;
  5. Tiga orang wakil daripada Kerajaan Persekutuan yang hendaklah dilantik oleh Menteri; dan
  6. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan sebagai Setiausaha.

Sulaiman juga berkata sebagai tambahan kepada sumber kewangan Perbadanan M-WEZ, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju supaya 10 peratus daripada jumlah kutipan hasil berkaitan di kawasan tambakan laut akan dikreditkan bagi tujuan pembangunan M-WEZ.

Ketua Menteri juga berkata antara projek yang sedang dirancang termasuklah cadangan pewartaan Zon Bebas Pulau Melaka, pembangunan Menara Ikonik M-WEZ, menaik taraf pelabuhan sedia ada dan pembinaan pelabuhan baru serta membangunkan Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1853
Kongsi :
Previous post Melaka Gateway cabaran besar M-WEZ – Ketua Pembangkang
Next post RM593 juta dibelanja bagi perolehan darurat peralatan hospital rawat COVID – Khairy
Ubah saiz-+=