MELAKA BILA LARUT MALAM DITERUSKAN SEPANJANG 2025
AYER KEROH 3 Januari – Program Melaka Bila Larut Malam yang menawarkan tiket kemasukan ke beberapa produk pelancongan terpilih di Negeri Melaka diteruskan sepanjang tahun 2025.
Perkara itu dimaklumkan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau.
Menurut Abdul Razak, program tersebut kekal diadakan pada Sabtu pertama setiap bulan, di mana untuk Januari tahun ini, inisiatif tersebut akan diadakan pada esok (4 Januari).
Sementara itu, menurut Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), antara produk pelancongan yang masih menyertai Melaka Bila Larut Malam adalah Menara Taming Sari dan Melaka River Cruise yang menawarkan tiket berharga RM10 bermula jam 11 malam hingga 2 pagi.
Turut menyertai program tersebut adalah muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), di mana orang ramai boleh masuk ke lima muzium pada harga hanya RM10. Lima muzium tersebut adalah Muzium Sejarah; Kompleks Muzium Samudera; Kompleks Muzium Rakyat; Muzium Istana Kesultanan Melaka dan Muzium Belia.
Selain itu, Zoo Melaka turut kembali menawarkan pakej Bila Larut Malam ‘Night Safari’ bermula jam 9.00 malam hingga 12.00 tengah malam, selain Ghost Museum Melaka yang menyediakan tiga waktu untuk pengunjung iaitu 9.30 malam, 10.30 malam dan 11.30 malam juga pada harga RM10.
Untuk rekod, Melaka Bila Larut Malam yang bermula Jun tahun lalu telah berjaya menarik kehadiran 87,553 pelancong domestik dan antarabangsa dalam tujuh edisi penganjurannya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.