Melaka jamin bantuan peralatan mangsa banjir diterima buat golongan yang berkelayakan

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

AYER KEROH 18 Jan – Kerajaan Negeri memberi jaminan bantuan perkakas elektrik, pakaian, perabot dan kit makanan akan disampaikan sewajarnya kepada golongan layak yang terkesan akibat bencana banjir.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, bantuan dikumpulkan hasil inisiatif pelbagai pihak akan diseliakan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) setiap daerah.

Jelasnya, perkara itu akan dinilai menerusi permohonan dibuat dengan mengutamakan aspek kelayakan pemohon termasuk jumlah kerugian dialami.

“PDT akan memantau mereka yang layak kerana kita mahu mereka yang benar-benar terkesan menerima bantuan dikumpulkan ini.

“Kita serahkan pada PDT kerana mereka mempunyai data dan senarai mangsa terjejas serta akan diagihkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas Program Penyampaian Bantuan Banjir SWM Sdn Bhd di Seri Bendahara, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd., Mohd Norlisam Mohd Nordin.

KETUA Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, pada Majlis Penyerahan Bantuan Sumbangan Pasca Banjir daripada SWM, di Seri bendahara, Ayer Keroh.Photo/MHI

Setakat ini kerajaan negeri menerima bantuan dalam bentuk peti sejuk, periuk nasi elektrik, jet air dan dapur memasak untuk diagihkan kepada mangsa banjir berjumlah kira-kira RM500,000 hasil sumbangan pelbagai pihak.

Menurutnya, sebelum ini mangsa banjir di Melaka turut menerima bantuan daripada kerajaan pusat menerusi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumbangan lain yang diterima adalah daripada Majlis Perabot Malaysia (MFC) bernilai RM207,100 manakala Persatuan OKU Sentral menghulurkan bantuan dalam bentuk pakaian dan kit makanan.

“Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit dan mengalu-alukan kepada kesemua pihak untuk bersama-sama menyumbangkan barangan serta wang tunai bagi meringankan beban mangsa banjir di Melaka,” katanya.

Sementara itu, Mohd Norlisam berkata, perkakas elektrik disumbangkan menerusi Program ‘SWM Kasih’ itu dijangka diagihkan ke 800 kediaman mangsa terjejas banjir.

Katanya kira-kira RM250,000 daripada RM750,000 bantuan perkakas elektrik sudah diagihkan kepada penerima di negeri ini dan akan diperluaskan ke Negeri Sembilan serta Johor dalam masa terdekat.

“Penyerahan ini adalah salah satu inisiatif CSR SWM sebagai tambahan kepada program CSR yang dijalankan dalam aspek pembersihan kediaman mangsa banjir.

“Dalam inisiatif sebelum ini, SWM menjalankan operasi pasca banjir dengan mengerahkan jentera untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan melibatkan hampir 400 pekerja dan 200 jentera pelbagai guna,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

562
Kongsi :
Previous post Majlis Perabot Malaysia sumbang perabot kepada mangsa banjir di Melaka
Next post Banjir: SWM Environment sumbang peralatan elektrik bernilai RM750,000 kepada 3,000 keluarga
Ubah saiz-+=