Melaka perkukuh maksud tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

SERI NEGERI 23 Sept – Kerajaan Melaka hari ini mengambil ketetapan untuk memperkukuhkan maksud tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk menjadi pegangan kepada orang Islam di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata langkah itu adalah tepat bagi memelihara keselamatan dan keamanan Melaka daripada gejala perpecahan dan pergaduhan sesama orang Islam akibat isu pegangan akidah yang berbeza.

Ketika membentang usul berkaitan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Sulaiman berkata kerajaan negeri telah bersetuju agar Warta Fatwa Negeri Melaka M.P.U. 5 Tahun 1997 berkaitan kewajipan berpegang dengan aqidah tersebut disemak dan ditambah baik bagi mengekang penyebaran fahaman-fahaman yang boleh menjejaskan aqidah umat Islam.

“Dengan pindaan kepada Seksyen 2, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 dan Warta Fatwa M.P.U. 5 tahun 1997, ia akan mengikat semua orang Islam yang berada di Negeri Melaka untuk berpegang kepada Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Usul berkenaan kemudian menerima sokongan sebulat suara ahli dewan.

Beliau berkata isu aqidah kembali menjadi perbahasan berikutan timbulnya pelbagai doktrin-doktrin baru serta doktrin lama yang ditimbulkan semula yang jelas bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, sekali gus mencabar fatwa yang telah diwartakan.

“Antara isu aqidah yang dikesan di negeri Melaka seperti Syiah, amalan khurafat di Pulau Besar, Ajaran Panji Langit, Hizbu Tahrir Malaysia, Asalama, Millah Abraham, Syahadah dan Zikir Nafas oleh Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (PERAHMAT) serta aktiviti perbomohan yang meragukan,” katanya.

“Aliran pemikiran semasa juga mencabar dan mengelirukan pegangan umat Islam masa kini seperti pemikiran Libralisme, Pluralisme dan Anti Hadith,” katanya.

Sulaiman berkata apa yang membimbangkan juga adalah gerakan Wahabi dan Salafi yang ektremis dan sering membida’ah serta mengkafirkan amalan-amalan khilafiyyah yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat Islam di Melaka dan Malaysia khususnya seperti wirid, tahlil, zikir, sambutan Maulidur Rasul dan lain-lain sebagai amalan yang sesat.

“Pandangan-pandangan ini mengelirukan fahaman masyarakat dan menjejaskan perpaduan umat Islam,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1349
Kongsi :
Previous post Pertimbang sesi khas bincang isu COVID-19
Next post Lebih 18 juta populasi dewasa lengkap vaksinasi COVID-19
Ubah saiz-+=