Melaka Titans bukan pasukan belasahan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TELOK MAS 17 Mac – Gabungan pemain tempatan dan pemain import diyakini mampu membantu Melaka Titans mencipta kejutan dalam Sepak Takraw Champion Cup 2022 yang bermula 20 Mac ini.

Dalam saingan itu, Melaka Titans bakal membariskan lima pemain tempatan yang akan bergandingan bersama seorang pemain import dari Golok Thailand iaitu Rusdee Leerem, 26.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM), Datuk Akramuddin Aziz berkata meskipun pertama kali menyertai kejohanan berkenaan, namun beliau enggan melihat Melaka Titans menjadi pasukan belasahan dalam kalangan enam pasukan yang menyertai kejohanan berkenaan.

Beliau sebaliknya percaya regu kendalian Riduan Ramli mampu mempamerkan aksi bertenaga dan bakal memberi saingan.

“Meskipun dalam Divisyen 1 kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 kita menjadi juara tetapi saya melihat bahawa mutu (permainan) agak rendah sedikit tetapi saya percaya dengan adanya pemain baharu yang pernah beraksi di Liga Premier sebelum ini, mutu permainan kita dapat dipertingkatkan.

“Saya melihat Rusdee (pemain) dari Thailand, beliau pernah mewakili bomba pada suatu ketika dahulu dan saya lihat ketika digandingkan bersama Omar sebagai ‘feeder’ serta tekong, Aziz saya nampak keserasian amat menggalakkan.

“Saya percaya Insya-Allah sesuatu akan menjelma ketika Champion Cup nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meraikan majlis makan malam bersama Melaka Titans di Baruh Alai yang turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, Mahathir Mustafa, 16 Mac lalu.

PEMAIN Melaka Titans.

Mengulas lanjut, Akramuddin berkata, beliau tidak mahu meletakkan sasaran yang tinggi sebaliknya mengharapkan pasukan itu mempamerkan aksi yang baik dalam kejohanan itu.

“Kita jangan fikir apa target kita di peringkat akhir. Selepas kemenangan kita yang pertama kita fikirkan pula target kemenangan kedua, selepas itu kemenangan ketiga dan seterusnya ke peringkat akhir.

“Dan saya percaya bahawa pemain-pemain ini telah berikrar untuk bersama-sama dengan Melaka Titans untuk menuju puncak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1216
Kongsi :
Previous post COVID-19: 214 kes baharu kategori tiga hingga lima – Noor Hisham
Next post JKPR: 214 permohonan koperasi diterima – Noh Omar
Ubah saiz-+=