JKPR: 214 permohonan koperasi diterima – Noh Omar
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Sebanyak 214 permohonan koperasi diluluskan untuk menyertai Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) sehingga 31 Dis lepas dengan peruntukan lebih RM2.5 juta, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata program JKPR adalah insentif jualan atau subsidi kepada koperasi yang menjalankan aktiviti peruncitan bagi mengurangkan harga barangan keperluan utama harian rakyat seperti gula, tepung, minyak masak, beras dan telur.
“Program ini juga antara lain untuk menggalakkan orang ramai berbelanja dan membeli barangan keperluan harian di kedai koperasi yang menawarkan harga berpatutan berbanding pasaran tempatan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu langkah dan peranan kementerian itu dalam usaha membolehkan gerakan koperasi membantu menangani kos sara hidup dan harga barangan keperluan yang semakin meningkat.
Pada 30 Mac lepas, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melancarkan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKoM) sebagai dokumen strategik yang menggariskan langkah transformasi bagi memperkasa gerakan koperasi di negara ini.
Dalam pada itu, bagi membantu menangani isu kenaikan harga barangan, Noh berkata KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi (SKM) turut melaksana Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) sebagai usaha memastikan bekalan barangan keperluan pengguna dapat dibekalkan secara konsisten dengan harga berpatutan.
“Melalui program ini, koperasi akan berperanan sebagai pusat pengedaran atau pemborong yang akan membuat pembelian secara pukal seterusnya mengedarkan barangan tersebut kepada kedai runcit yang menjadi rangkaian mereka,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.