Melaka Touch Point, kiosk pintar mudahkan orang ramai

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 13 Januari – Dalam mencapai status bandar raya pintar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) membangunkan kiosk Melaka Touch Point di Dataran Bandaraya MBMB, di sini, yang merangkumi pelbagai data termasuk keadaan trafik di bandar Melaka.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, antara data yang terdapat di kiosk Melaka Touch Point adalah i-Trafik MBMB; MBMB Smart City, Ceritera Melaka; i-Perolehan MBMB dan inovasi MBMB seperti Projek Tali Amaran Pintar.

Katanya, salah satu akses yang memberi manfaat kepada pengguna adalah sistem i-Trafik yang mana pengguna boleh merancang perjalanan untuk ke bandar Melaka.

“Sistem i-Trafik MBMB dilancarkan pada September 2022 dan melibatkan lebih daripada 33 persimpangan serta jalan utama selain dilengkapi 90 kamera litar tertutup (CCTV).

“Ia memaparkan keadaan trafik mengikut waktu semasa (real time), contohnya jika pengunjung mahu ke bandar Melaka, mereka boleh merancang perjalanan dengan melihat keadaan trafik dan kesesuaian tempat parkir.

“Setakat ini, hampir 80,000 menggunakan sistem i-Trafik dan kita mendapat kerjasama daripada beberapa stesen minyak Petron untuk mempamerkan kod QR bagi kemudahaan akses pengunjung mahupun pelancong untuk melihat keadaan trafik di Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Environment Sensor Station-15 (ESS-15) dan Melaka Touch Point di Dataran Bandaraya MBMB, di sini, semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.

Mengulas lanjut, beliau berkata sistem i-Trafik akan ditambah baik pada masa akan datang terutama melibatkan jumlah kekosongan parkir di lokasi tempat kereta yang dipamerkan.

“Sekarang i-Trafik hanya ada lokasi parkir tetapi tidak memaklumkan kekosongan yang ada. Pada masa akan datang ia akan dinaik taraf berdasarkan waktu semasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1377
Kongsi :
Previous post ESS-15 pacu Bandaraya Melaka ke arah zon udara bersih
Next post Komitmen lebih tinggi penjawat awam mampu capai KPI 100 peratus
Ubah saiz-+=