Menang Proton X50, rezeki ‘Aidiladha’ remaja baru dapat lesen

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 16 Jun – Siapa sangka dengan bercuti ke Melaka dan memeriahkan tiga acara besar yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, seorang remaja dapat memandu pulang sebuah Proton X50.

Rezeki itu bagaikan sudah tertulis untuk Muhammad Danish Russidi, 18, yang berasal dari Bukit Raja, Selangor apabila namanya dipilih Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Cabutan Bertuah Sempena Pameran Hang Tuah, Pameran Automotif Klasik Keluarga Diraja Johor dan Malaysia Bike Week Melaka 2024 di Dataran MCORP, hari ini.

Muhammad Danish yang merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sama sekali tidak menyangka dirinya akan menjadi insan paling bertuah daripada puluhan ribu pengunjung yang membanjiri MITC sejak Jumaat.

Namun, dia menganggap hadiah kereta bernilai RM79,800 itu sebagai rezeki Aidiladha untuknya dan keluarga.

“Alhamdulillah, saya agak terkejut pada mulanya apabila nama dan nombor kad pengenalan disebut oleh Ketua Menteri.

“Sejujurnya saya baru sahaja lulus untuk mendapatkan lesen memandu bulan lalu dan hadiah ini pula menyusul, saya rasa sangat bertuah,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berkenaan.

Terdahulu, hadiah cabutan bertuah itu telah disampaikan Ketua Menteri.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abd Razak Abd Rahman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron.

Menurut remaja itu, pada acara yang berlangsung di MITC, Ayer Keroh dia bersama ibu bapa dan keluarga telah membeli tujuh helai kemeja-T Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sebagai cenderamata untuk dibawa pulang.

Pembelian itu melayakkan mereka mendapat tujuh kupon cabutan bertuah.

Selain kereta, cabutan bertuah khas TMM2024 itu turut menghadiahkan 10 buah motosikal pelbagai jenama untuk pengunjung bertuah.

Sementara itu, Ab Rauf turut mengumumkan cabutan bertuah sama akan diadakan bersempena Karnival Jom Heboh pada 28 hingga 30 Jun ini, selain pada Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia (Julai) dan Melaka Explorace (Ogos).

Orang ramai hanya perlu membeli cenderamata TMM2024 serendah RM20 di beberapa kios yang ditempatkan di lokasi tumpuan pelancong sekitar Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2492
Kongsi :
Previous post Polis lumpuhkan sindiket penipuan guna fail APK
Next post KPDN Melaka anjur 386 Jualan Rahmah
Ubah saiz-+=