Misi dekati lebih ramai anak muda – Rahmad

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 23 Nov – “Misi saya yang utama untuk mendekati anak-anak muda kerana mereka ini adalah masa depan negara kita dan kalau boleh anak-anak muda inilah yang akan memacu ekonomi negara ke arah yang lebih baik di masa hadapan”.

Itu reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman yang menerima sokongan anak muda di DUN tersebut sekali gus memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Mereka (anak muda) ini merupakan benteng pertahanan negeri dan negara…sebab itulah jangan sesekali ditinggalkan mereka dalam apa juga keadaan.

“Saya dari awal bersama anak-anak muda untuk menghayati dan menjiwai kehendak serta minat mereka dan akhirnya mereka menterjemahkan dalam undi di DUN ini.

“Banyak saluran anak-anak muda ini memberi undian tinggi kepada saya, dan Insya-Allah ada perancangan saya untuk mereka ini cumanya tak dapat saya sebutkan sekarang,” katanya ketika dihubungi MHI.

Dalam pada itu Rahmad berkata kepercayaan diberikan rakyat itu memberi galakkan kepadanya untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik buat DUN Ayer Molek.

“Atas kepercayaan ini, pertamanya seperti mana saya katakan saya akan memberikan perkhidmatan sehabis baik kepada mereka dan memfokuskan kepada isu-isu kebajikan dan menyelesaikan kes banjir kilat di DUN ini.

“Sehingga hari ini saya masih belum sempat berehat, selepas kemenangan itu saya terus berjumpa penduduk untuk nyatakan tanda terima kasih atas sokongan mereka.

“Semalam juga saya telah menyelesaikan banyak perkara-perkara yang menjadi aduan semasa tempoh berkempen, saya dan kakitangan terlibat akan selesaikan aduan tersebut dalam tempoh 100 hari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1048
Kongsi :
Previous post Ini masanya untuk cipta sejarah – Zainal
Next post Saya bukan disingkirkan, tapi…
Ubah saiz-+=