Saya bukan disingkirkan, tapi…

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 23 Nov – Pertukaran Pesuruhjaya Pas Negeri Melaka tiada kaitan dengan kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Datuk Kamarudin Sidek.

Beliau berkata ia hanya proses biasa selepas individu yang memegang sesuatu jawatan itu sudah cukup tempoh berkhidmat.

Justeru, beliau menafikan dirinya disingkirkan dari jawatan Pesuruhjaya PAS, sebaliknya pertukaran jawatan itu yang kini disandang Ketua Dewan Ulama Pas Melaka, Zulkifli Ismail adalah perkara biasa dalam parti.

Ia sekali gus menafikan wujud sebarang isu berkait dengan keputusan PRN pada Sabtu lepas.

“Itu pertukaran biasa, kerana saya sudah cukup tiga penggal sejak 2015 memegang jawatan itu dan bukan disebabkan isu PRN.

“Ia (pertukaran) sepatutnya sebelum PRN tetapi ditangguhkan sementara, bila PRN selesai pusat gantikan Pesuruhjaya baharu,” katanya ketika dihubungi.

Kamarudin yang juga calon pada PRN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong berkata, beliau boleh dilantik semula ke jawatan itu dalam tempoh satu atau dua penggal berdasarkan prestasi beliau sebelum ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, disebabkan sebelum ini Zulkifli tidak banyak di lapangan jadi beliau perlu banyak belajar bagi memastikan PAS Melaka terus berkembang dalam menyatukan ummah.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan Kamarudin tidak dikekalkan bagi sesi 2021-2023 manakala 13 lagi pesuruhjaya negeri masih penyandang yang sama.

Takiyuddin berkata, perkara itu telah diputuskan melalui Mesyuarat Kali Kedua, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 21 November 2021 yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1017
Kongsi :
Previous post Misi dekati lebih ramai anak muda – Rahmad
Next post Berkayuh waktu malam saksi keindahan Bandaraya Melaka
Ubah saiz-+=