Mohd Ali figura pertama Melaka terima gelaran Tun Seri Setia

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 24 Ogos – Istiadat Menghadap dan Mempersembahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Setia Melaka diadakan di Dewan Seri pagi tadi bagi mengishytiharkan penganugerahan darjah kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Seri Utama (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam.

Penganugerahan yang julung kali diadakan di negeri ini adalah bagi mempersembahkan darjah kebesaran terbabit kepada Mohd Ali yang kini telah membawa gelaran Tun Seri Setia.

Istiadat yang diadakan sebaik ketibaan tetamu undangan di perkarangan dewan selepas jam 10.30 pagi tadi turut menyaksikan satu penganugerahan darjah kebesaran lain turut diisytiharkan.

Penganugerahan Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang dianugerahkan kepada Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali yang membawa gelaran Datuk Seri Utama telah disampaikan Mohd Ali sekitar jam 10.40 pagi tadi.

Istiadat yang berlangsung itu dimulakan dengan Perisytiharan Penzahiran Darjah Seri Paduka Setia Melaka oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan dan telah ditangguhkan tepat jam 11.05 pagi.

Darjah Kebesaran Seri Paduka Setia Melaka yang pertama kali diisytiharkan itu sekali gus menjadikan Mohd Ali merupakan individu pertama menerima penganugerahan tertinggi tersebut sebagai jasa dan penghargaan dari Kerajaan Negeri Melaka.

Menerusi anugerah terbabit ia adalah penghargaan kepada individu yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri atau setaraf atau yang tertinggi daripada kerajaan negeri seperti yang dicadang dan diluluskan melalui usul dibentangkan Sulaiman pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, baru-baru ini.

Ia juga sebagai memperingati dan memberi penghargaan utama di atas pelantikan Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang merupakan anak jati pertama negeri ini dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka pada 5 Jun lepas.

Views:

899
Kongsi :
Previous post Setinggi-tinggi Tahniah kepada TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam Yang di-Pertua Negeri Melaka Di Atas Penganugerahan Darjah Seri Paduka Setia Melaka yang membawa gelaran Seri Setia.
Next post MUSA hantar logo baharu untuk semakan
Ubah saiz-+=