MOVAK KPKT beri manfaat kepada 80,000 penerima
TANJUNG BIDARA 26 Ogos – Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberi manfaat kepada 80,000 penerima apabila selesai pada 30 September depan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, Datuk Azhar Ahmad berkata, program yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara itu sudah dimulakan di Ampang pada 6 Julai lalu.
“Ia diadakan di zon utara, tengah, selatan dan timur Semenanjung selepas mendapat kelulusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi membantu mempercepat pemberian vaksin mengikut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Hari ini, ia diadakan di Tanjung Bidara dalam daerah Alor Gajah dan Telok Mas dalam daerah Melaka Tengah bagi memastikan semua golongan di negeri ini mendapat vaksin untuk melawan pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau MOVAK KPKT bagi anggota komuniti di Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara di Dewan JAPERUN Tanjung Bidara, di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara, Datuk Wira Md Rawi Mahmud; Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Komuniti KPKT, Datuk Mohamad Musa dan Ketua Penolong Setiausaha bahagian itu, Mohd Khairul Azmi Khairuddin.
Seramai 2,000 orang dalam DUN Tanjung Bidara dijadualkan menerima vaksin dos pertama sepanjang program pemberian vaksin hari ini hingga Ahad ini.
Sementara itu, Md Rawi berkata, program berkenaan memberi tumpuan kepada anggota komuniti yang menghadapi masalah untuk mendaftar penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera seperti nelayan dan buruh am.
“Hari ini sahaja seramai 500 penerima vaksin yang berdaftar melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing dijadualkan menerima vaksin masing-masing.
“Bagaimanapun, masih ada penerima yang dijadualkan menghadiri janji temu hari ini gagal hadir kerana pelbagai masalah.
“Jadi saya sudah mengarahkan petugas JAPERUN dan sukarelawan MOVAK segera menghubungi mereka bagi memastikan mereka segera hadir dan jika gagal berbuat demikian penerima dalam senarai simpanan akan dipanggil untuk menerima suntikan vaksin itu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.