MTA lancar logo baharu

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

BANDA HILIR 9 Dis – Pelancaran logo baharu Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) seiring dengan hasrat persatuan itu memacu pertumbuhan sektor pelancongan di negeri ini.

Presiden MTA Madelina Kuah berkata, logo baharu itu juga bersesuaian dengan penyertaan 70 ahli persatuan itu yang disertai ahli pelbagai peringkat usia, termasuk golongan muda.

“Logo baharu ini adalah untuk generasi Y dengan pendekatan baharu dalam norma baharu sektor pelancongan Melaka.

“Dengan beberapa tema digunakan seperti warna merah yang melambangkan keberanian, putih melambangkan kesucian, kuning keceriaan dan kelabu pula bermaksud kesatuan antara ahli persatuan ini.

“Kita menggunakan peta negeri Melaka adalah sebagai lambang persatuan yang bergerak mengikut era baharu dalam norma baharu pasca pandemik COVID-19,” katanya.

LOGO baharu MTA.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran logo baharu dan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara empat ahli persatuannya di sebuah hotel, di sini malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, MoU yang dimeterai itu seiring dengan hasrat persatuan untuk terus memperkasa sektor pelancongan di Melaka.

Beliau berkata, setakat ini enam agensi telah memeterai MoU terbabit bagi memberi kelebihan dalam persatuan dengan pelbagai tawaran dan diskaun yang membawa pulangan kepada ahlinya.

“Kita juga ada pertalian antara Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) malah dengan persatuan pelancongan di setiap negeri bagi mempromosikan sektor pelancongan masing-masing.

“Bagaimanapun setakat ini kita hanya memfokuskan pelancongan dalam Melaka dengan kerjasama agensi terlibat namun bila tiba masa keadaan yang lebih selesa kita akan buka untuk bersama dengan memeterai MoU dengan agensi lain,” katanya.

Terdahulu, Melaka Hari Ini Sdn. Bhd. antara empat agensi yang telah menjalinkan MoU disaksikan Akramuddin yang mewakili Exco Pelancongan Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Beliau berkata, MoU dijalinkan bersama agensi media itu sekali gus memberi keunikan kepada persatuan itu untuk mempromosikan pelancongan Melaka.

“Malam ini ada keunikan apabila kita menjalin MoU bersama MHI dan ini merupakan perkara yang dinantikan untuk mempromosikan Melaka dan kita juga berharap akan ada media lain yang akan bersama dalam merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Pelancaran MoU antara MHI malam tadi telah ditandatangani antara beliau dengan Ketua Pegawai Eksekutif MHI, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Selain itu, tiga agensi lain iaitu Bayou Lagoon Park Resort, Melaka Taming Sari Sdn. Bhd. dan Ukhwah Harmoni Travel & Tour Sdn Bhd turut memeterai MoU yang diadakan kali ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1445
Kongsi :
Previous post Akhyar, Quentin pula positif COVID-19
Next post Fairul sedia tuisyen percuma di Asahan
Ubah saiz-+=