MTL: MELAKA DIJANGKA ALAMI BANJIR

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 26 November – Melaka antara negeri yang turut diberikan perhatian oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Disember ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, meskipun tidak berada dalam senarai lima negeri diramal mengalami banjir besar, namun sebahagian lokasi di Melaka dijangka akan terkesan akibat MTL.

Katanya, lima negeri dijangka akan mengalami banjir besar atau menerima taburan hujan yang tinggi sepanjang Disember nanti adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan bahagian barat Sarawak.

“Kawasan di Negeri Melaka seperti daerah Alor Gajah antara dijangka akan terjejas dan mengalami banjir jika berlaku hujan lebat.

“Apa yang merisaukan kami adalah berlakunya banjir kilat, berikutan itu JBPM turut melakukan persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana di Negeri Melaka,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Forum Keselamatan Kebakaran Dalam Pengurusan Industri Tahun 2024, di Bukit Katil, hari ini.

Ts. Nor Hisham berkata, JBPM turut memantau perkembangan fenomena Lekukan Tropika sebagai langkah siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dan banjir besar seperti yang berlaku pada 2021.

“JBPM turut memantau rapat Lekukan Tropika kerana apabila berlaku hujan lebat seperti 2021 empat negeri iaitu Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Pahang mengalami banjir besar.

“Berikutan itu, negeri-negeri ini turut diberi perhatian khusus selain daripada lima negeri yang disenaraikan akan mengalami banjir besar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

409
Kongsi :
Previous post ANGKA KORBAN AKIBAT LEMAS MERISAUKAN
Next post ‘TASK FORCE’ BANJIR JELAJAH SEMUA DUN
Ubah saiz-+=