MU siap sedia hadapi dua aksi pemanas badan

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

MELAKA United (MU) bersiap sedia menghadapi dua aksi pemanas badan dalam masa terdekat sebelum saingan Liga Super dibuka semula pada pertengahan Ogos atau awal September depan.

Ketua Jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan berkata, buat masa ini pihaknya sudah berunding dengan satu pasukan dari Liga M3 dan satu pasukan Liga Premier untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebagai persediaan menyediakan pasukan terbaik liga disambung kembali.

“Perlawanan persahabatan ini amat penting untuk menyediakan pasukan yang mantap dan kita perlu adakan sekurang-kurangnya dua perlawanan persahabatan.

“Buat masa ini kita belum terima jawapan mengenai pasukan mana yang akan kami hadapi, tetapi InsyaAllah dalam masa terdekat kami akan dapat tahu.

“Saya berharap semua yang kami rancangkan akan berjalan lancar sebelum saingan Liga Super disambung kembali nanti,” katanya ketika ditemui di sesi latihan pasukan di Stadium Hang Jebat.

Mengulas mengenai sesi latihan pasukan yang sudah memasuki minggu kedua diadakan selepas berehat tiga bulan, Zainal berkata semuanya kini berjalan lancar meski pun pemain skuad Hang Tuah hanya boleh berlatih dalam kumpulan kecil dan tanpa melibatkan sentuhan.

“Kita sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan pemain juga menunjukkan disiplin yang mantap sepanjang tempoh ini.

“Jadi sekarang kita hanya menunggu pengumuman SOP baharu bagi membolehkan latihan berjalan seperti biasa melibatkan semua pemain,” katanya lagi.

Views:

303
Kongsi :
Previous post Infrastruktur kawasan pelancongan ditambah baik
Next post Pembangunan generasi muda keutamaan kerajaan
Ubah saiz-+=