Muzium bukan lagi pilihan destinasi pelancongan terakhir

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

MELAKA 17 Mac. – Trend dan persepsi menjadikan muzium sebagai pilihan terakhir lokasi untuk melancong bakal berubah dengan projek naik taraf yang dilaksanakan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) sepanjang tahun 2020.

Pengurus Besarnya, Mohd Nasruddin Rahman berkata selain hiasan dalaman yang diberi nafas baharu, suntikan elemen realiti maya (VR), hologram dan realiti terimbuh (AR) dijangka akan mengubah gaya melancong orang ramai untuk menjadikan muzium sebagai lokasi wajib dikunjungi.

Muzium Samudera mendapat suntikan elemen realiti maya (VR), hologram dan realiti terimbuh (AR) dijangka mampu menarik kunjungan orang ramai.

“Saya anggap pandemik COVID-19 yang melanda dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang tahun 2020 hinggalah kini, seolah satu ruang dan peluang terbaik untuk kami menyusun atur semula perancangan ke atas kesemua 21 muzium termasuk beberapa muzium popular di negeri ini.

“Lebih utama, selama setahun lepas itu juga, kami mendapat ruang untuk menaik taraf beberapa muzium memandangkan kami tidak boleh menutup muzium dalam tempoh yang lama kerana ia sentiasa menjadi tumpuan pelancong,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Jelas Mohd Nasruddin, antara muzium yang mendapat sentuhan baharu tersebut adalah kapal Flor de La Mar (Muzium Samudera), Muzium Setem, Muzium Sejarah dan Ethnografi, Muzium Pemerintahan Demokrasi, Muzium Hang Tuah Centre dan Muzium Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Muzium Hang Tuah Centre antara 21 muzium di Melaka yang mendapat sentuhan baharu.

“Secara asasnya, naik taraf banyak melibatkan rekaan dalaman dan pembangunan sistem interaktif dalam penyampaian maklumat mengikut perkembangan teknologi semasa. Kami mahu ubah gaya hiasan dalaman muzium yang dulunya ‘kaku’ menyebabkan pelancong bosan dan akhirnya menjadikan muzium lokasi terakhir untuk dilawati.

“Dalam masa yang sama, pelbagai fasiliti termasuk kafe yang bersifat santai akan diwujudkan malah Muzium Rakyat juga dirancang dijadikan pusat sehenti yang turut menawarkan jualan barangan bersifat warisan,” jelasnya.

Lebih menarik, pengunjung juga akan ‘dibawa’ menghayati kebudayaan masyarakat Belanda, Portugis dan Melayu lama melalui persembahan yang akan diadakan mengikut jadual.

“Ada tiga lokasi utama persembahan iaitu di Bukit St Paul bagi persembahan Portugis, Kompleks Stadthuys (Belanda) dan pekarangan Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka (Melayu). Ini secara tidak langsung akan menarik pengunjung mengunjungi muzium bagi mengetahui lebih jelas mengenai sejarah dan kebudayaan yang dipersembahkan,” katanya.

Untuk persembahan tersebut yang dirancang bermula pada Ogos nanti, Nasruddin menjelaskan pihaknya akan bekerjasama dengan Institut Warisan Melaka dan Melaka World Heritage.

Ini jelas beliau sekali gus akan merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini yang setakat Januari hingga 14 Mac 2021, sejumlah 24,302 pelawat telah mengunjungi muzium di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2343
Kongsi :
Previous post Pokok ikonik 127 tahun rebah di bumi bersejarah
Next post Rang undang-undang profesion kerja sosial dalam peringkat akhir
Ubah saiz-+=