OPS Benteng: Dua anggota polis nyaris dirempuh

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat
KETUA Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya

BANDARAYA MELAKA 20 Jun –  Seorang lelaki ditahan polis selepas didapati pandu melulu dan hampir merempuh dua anggota polis dalam sekatan jalan, Ops Benteng di Ujong Pasir, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira- kira jam 3.30 pagi itu, lelaki berkenaan yang memandu Perodua Alza dikatakan tidak menghiraukan isyarat berhenti diberikan anggota polis berkenaan ketika dia menghampiri sekatan jalan raya, malah bertindak memecut laju.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, suspek berusia 37 tahun yang memandu seorang diri ketika itu dalam perjalanan dari arah Bukit Senjuang ke Ujong Pasir.

“Polis kemudian mengekori suspek sehingga ke Taman Sinn dan memotong Perodua Alza dipandunya lalu mengarahkannya untuk berhenti, namun dia enggan berbuat demikian.

“Suspek juga kemudian bertindak melanggar kenderaan Proton Preve milik jabatan sehingga mengalami kerosakan sebelum dia akhirnya berjaya dicekup polis,” katanya.

Menurut beliau, hasil saringan awal ujian air kencing ke atas suspek mendapati ia negatif.

“Bagaimanapun dia kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk diambil sampel darah bagi pengesanan kandungan alkohol.

“Polis kini menunggu keputusan ujian darah dari Jabatan Kimia, selain suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 45 (1) akta sama,” katanya.

Views:

938
Kongsi :
Previous post Tiada potongan elektrik hingga 30 September – TNB
Next post Hujan lebat, laut pasang serentak punca banjir
Ubah saiz-+=