Orang Alor Gajah tidak dilupakan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

DURIAN TUNGGAL 28 Mac – Seramai 150 warga Parlimen Alor Gajah dalam golongan B40 menerima sumbangan berupa wang tunai kit makanan asas.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan tersebut bagi meringankan beban perbelanjaan rakyat di Parlimen berkenaan sepanjang menyambut Ramadan.

Jelas Ketua Menteri, ia secara tidak langsung membina persepsi dan kesedaran kepada masyarakat untuk lebih cakna dan prihatin untuk terus membantu golongan yang kurang berkemampuan agar dapat merasai kemeriahan dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Kerajaan Negeri Melaka telah memperuntukkan sejumlah RM100,000 untuk diagihkan kepada rakyat Melaka antaranya golongan B40, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), Pusat Tahfiz dan anak-anak yatim khas sumbangan sepanjang bulan Ramadan.

“Sebanyak RM15,000 daripada jumlah itu telah disampaikan kepada golongan bersasar di bawah Parlimen Alor Gajah termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan yang boleh dimanfaatkan kepada 150 orang penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Bantuan Ramadan di Masjid Ar Rahman, Parit Melana, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Zahari Abd Kalil serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri sentiasa cakna dan tidak pernah lupa untuk menyalurkan bantuan-bantuan yang selayaknya bagi memenuhi keperluan rakyat negeri Melaka yang kurang berkemampuan.

Jelasnya, Kerajaan Negeri sentiasa turun padang melaksanakan pelbagai inisiatif khususnya memberi sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.

“Kita juga telah pun menyalurkan sumbangan Ramadan di semua Parlimen dalam Negeri Melaka.

“Program penyerahan sumbangan ini diadakan bagi melunas hasrat kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan dan ia juga sebagai manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menitik berat serta memastikan setiap rakyat di di bumi ini sejahtera semuanya tanpa ada yang tercicir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1518
Kongsi :
Previous post Agong titah hentikan kontroversi stoking kalimah Allah
Next post Ab Rauf suri teladan Kerajaan Perpaduan
Ubah saiz-+=