Panorama Melaka cadang miliki bas sendiri pada Oktober

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER MERBAU 10 Julai – Panorama Melaka Sdn Bhd (Panorama) berhasrat membeli bas sendiri bagi menambah baik sistem pengangkutan awam di negeri ini, pada Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad berkata bagi meneruskan hasrat itu, anak syarikat kerajaan negeri itu sedang melaksanakan penstrukturan semula syarikat terbabit termasuk, mengkaji semula perjanjian bersama tiga syarikat konsesi yang memberi sewa bas kepada Panorama.

Katanya, pihaknya akan meneliti pelbagai sudut termasuk keberkesanan syarikat konsesi terbabit menyediakan pengangkutan awam kepada rakyat di negeri.

“Sebelum ini Panorama menyewa bas, kali ini kita merancang untuk membeli bas sendiri, bukan dalam jumlah yang besar tetapi kita akan ambil satu atau dua bas untuk hak milik Panorama Melaka Sdn Bhd.

“Kita perlu kaji semula perjanjian bersama pembekal sama ada efektif atau sebaliknya dan kalau ia perlu diperbaharui dengan syarat tambahan yang Panorama perlukan, kita akan teruskan.

“(Pembelian) dijangka pada Oktober ini kerana untuk membeli bas, kita perlu membuat pinjaman dan sebab itu kita perlu penstrukturan semula dari segi kewangan sebelum membuat pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersama Masyarakat dan Jabatan Kerajaan di Balairaya Ayer Merbau, di sini hari ini.

Roslan berkata, pembelian bas baharu hak milik Panorama adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri untuk memenuhi syarat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memudahkan urusan permohonan pinjaman membabitkan pengangkutan.

“Salah satu syarat kita perlu memiliki bas yang lebih sempurna sebagai syarat untuk mendapatkan sebarang permohonan, geran atau peruntukan di bawah agensi terbabit,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga ADUN Merlimau berkata beliau sudah mengarahkan Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn Bhd, Datuk Abu Bakar Abdul untuk mengadakan perbincangan dengan pihak bank untuk urusan pinjaman.

Views:

554
Kongsi :
Previous post Atlet SUKMA Melaka terima lampu hijau
Next post Jumaat diangkat sebagai Hari Tulisan Jawi
Ubah saiz-+=