Pasukan keselamatan negara sedia hadapi ancaman keganasan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 17 November – Pasukan keselamatan negara sentiasa peka dan sedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi menangani sebarang bentuk ancaman keganasan.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata, meskipun ancaman diterima sebelum ini palsu, namun perkara itu tidak boleh dipandang remeh.

“Semua sedia maklum yang isu keselamatan ini tidak boleh diambil mudah, kita selalu andaikan negara selamat walhal ancaman itu sentiasa ada dan mungkin berlaku.

“Justeru menerusi Seminar dan TTX Eksesais Latihan Amal Keselamatan Menyeluruh (EX-COMSEC 2023) ini kita dapat memperkemas, menyelaras dan meningkatkan kesiapsagaan semua agensi yang terlibat. Malah kesiapsagaan kita juga tinggi.

“Ketika ini kita sedang menguji latihan pelan tindakan kecemasan (ERP) dan prosedur operasi standard (SOP) keberkesanan serta keupayaan pasukan keselamatan pelbagai agensi, ianya menunjukkan peningkatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Penutup EX-COMSEC 2023, di sebuah hotel di Bandar Hilir, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Maslina Baki dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali.

Menurut beliau, pemantauan secara menyeluruh juga dilakukan MKN membabitkan pelbagai aspek termasuk menerusi platform media sosial.

Jelasnya, langkah itu bertujuan menangani sebarang ancaman berisiko menggugat keselamatan negara susulan Malaysia secara tegas menyatakan sokongan terhadap Palestin.

“Kita memantau secara menyeluruh termasuk di media sosial dan sebagainya, malah kalau lihat memang ada (ancaman) tetapi pihak berkuasa dan kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri amat prihatin serta memberi perhatian peribadi berhubung isu ini,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1351
Kongsi :
Previous post Tiga cedera selepas pulang bantu lancarkan kemalangan
Next post Duyong mencari sukarelawan
Ubah saiz-+=