Sorting by

×

Patriotisme ekonomi mampu rapatkan jurang sosio

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 21 Sept. – Satu syarikat untuk setiap isi rumah dan sebuah koperasi untuk setiap persatuan dicadangkan oleh Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik bagi membantu penduduk negara ini merapatkan jurang sosioekonomi yang semakin melebar.

Katanya, inisiatif ini juga dapat menggariskan strategi serampang dua mata bagi tujuan mempromosikan budaya keusahawanan khususnya di kalangan wanita.

“Daya beli masyarakat bumiputera harus disasarkan secara tepat untuk meningkatkan prestasi perniagaan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa sebarang prejudis.

“Namun dalam beberapa keadaan pula terdapat jurang ekonomi antara penduduk yang masih melebar dan keadaan ini harus segera dirapatkan demi membantu masyarakat bumiputera menikmati kepentingan yang adil dalam perkongsian kek ekonomi negara,” ujarnya.

Abdul Rahim berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agong Pertubuan Ibu Tunggal Kebangsaan Negeri Melaka di Kota Fesyen, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Cawangan Melaka, Aminah Abas, Pengerusi Penggerak Wawasan Melaka, Datuk Dr. Mohd Ruddin Ab Ghani dan Timbalan Pengerusi Penggerak Wawasan Melaka, Datuk Haron Md Dom.

Dalam masa sama Abdul Rahim yang juga Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan (YPW) Malaysia turut mengingatkan golongan wanita agar membugarkan semangat patriotisme ekonomi kerana wanita merupakan faktor utama daya kuasa beli terbesar dalam negara.

“Untuk mencapai usaha sebegini ianya memerlukan penghayatan patriotisme ekonomi yang kukuh, lebih kuat dan berdaya tahan,” katanya.

Views:

362
Kongsi :
Previous post 26,572 rakyat Malaysia terkandas di luar negara selamat dibawa pulang
Next post Jaring nelayan rosak angkara kapal tunda
Ubah saiz-+=