Patuhi SOP demi kelangsungan solat berjemaah

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

TANJUNG BIDARA 28 Jan. – Pengurusan Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, di sini, mengulangi peringatan supaya semua jemaah mengikuti sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Imam I, Mohd Nawawi Abdullah berkata, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pihak berwajib membatalkan kebenaran atau menghadkan bilangan jemaah bersolat di masjid.

Katanya, selain sentiasa memakai pelitup muka, jemaah juga diingatkan supaya membawa sejadah sendiri, mengambil suhu badan dan mencatatkan nama serta nombor telefon sebelum memasuki masjid.

“Alhamdulillah, pagi ini kita kembali diizinkan Allah untuk berjemaah lebih daripada lima orang bagi solat fardu dan insya-Allah esok solat Jumaat 250 orang.

“Kita harus menjaga SOP bagi membantu memutuskan rantaian pandemik COVID-19 dan sama-samalah kita berdoa agar Allah menamatkan wabak berbahaya itu,” katanya ketika memberi penjelasan ringkas kepada
jemaah selepas solat Subuh di masjid itu pagi tadi.

Bilal masjid, Mohd Fazar Abdul Samad, 35, berkata solat Suboh pagi ini berbeza berikutan kehadiran lebih ramai jemaah berbanding hanya lima orang sebelum ini.

“Sejak PKP dikuat kuasakan 13 Januari lalu, kami hanya lima orang menunaikan solat fardu manakala solat Jumaat seramai 45 orang,” katanya,

Alias Ri, 60, berkata kerinduannya terhadap masjid terubat pagi ini selepas 15 hari terpaksa menunaikan solat bersendirian.

ALIAS teruja untuk menunaikan solat berjemaah di masjid.

“Saya sangat rindu untuk solat berjemaah di masjid kerana di sini lebih tenang, khusyuk dan fadilatnya 27 kali ganda berbanding solat seorang,” katanya.

Bermula hari ini, kerajaan negeri memberikan kelonggaran kepada aktiviti masjid dan surau meskipun PKP belum berakhir.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dilapor berkata, kehadiran jemaah dibenarkan maksimum 500 orang bagi masjid kerajaan manakala masjid kariah (250 jemaah) dan surau (75 jemaah).

Turut dibenarkan, kuliah Maghrib, bacaan Yasin selepas Maghrib pada hari Khamis malam Jumaat dan pengurusan serta solat jenazah, namun jumlah jemaah bergantung kepada saiz dewan solat masjid atau surau.

Bagaimanapun, aktiviti kuliah atau program selain kuliah Maghrib dan bacaan Yasin, ditangguhkan manakala penceramah dari luar Melaka tidak dibenarkan.

Views:

1499
Kongsi :
Previous post Agong, Raja Permaisuri ucap selamat Hari Thaipusam
Next post 16 tahanan lokap Balai Polis Mantin positif COVID-19
Ubah saiz-+=