Pedalaman Melaka bakal nikmati capaian Internet berkelajuan tinggi

Masa Membaca:2 Minit, 54 Saat

BANDA HILIR 5 April. – Pembinaan infrastruktur gentian optik jalur lebar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi syarikat subsidiarinya Allo Technology Sdn Bhd (Allo), bakal memberi manfaat besar kepada rakyat di negeri ini khususnya di luar bandar dan kawasan pedalaman.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, melalui pembinaan infrastruktur itu, capaian Internet jalur lebar di negeri ini kini semakin diperluaskan dan mampu menghubungkan lebih 17,000 kediaman terutama di sekitar Alor Gajah dan Jasin.

Ujarnya, memandangkan kemudahan Internet kini menjadi utiliti asas ketiga yang menjadi kayu pengukur tahap pembangunan dan kemajuan sesuatu lokasi selepas elektrik dan bekalan air, inisiatif oleh TNB dan Allo itu amat dihargai selari hasrat kerajaan negeri mentransformasi pembangunan masyarakat digital dan ekonomi digital yang mampan untuk rakyat negeri ini.

SULAIMAN…capaian Internet jalur lebar di negeri ini kini semakin diperluaskan dan mampu menghubungkan lebih 17,000 kediaman terutama di sekitar Alor Gajah dan Jasin.

“Lebih 95 peratus daripada hampir satu juta penduduk Melaka menggunakan Internet, jadi dengan adanya kemudahan disediakan TNB melalui anak syarikatnya Allo ini membolehkan rakyat mendapat akses dengan cepat, cekap dan efisien kepada maklumat penting pelaksanaan grid pintar.

“Keperluan Internet menjadi semakin penting sejak berlaku pandemik COVID-19 apabila hampir semua perkhidmatan seperti pendidikan, pembelian barangan, pengangkutan awam, pesanan makanan dan bermacam lagi bentuk perkhidmatan dijalankan secara maya atau dalam talian yang memerlukan kemudahan akses internet yang pantas.

“Jadi saya percaya manfaat yang akan diterima rakyat cukup besar dan pada masa sama saya yakin pihak TNB juga boleh pergi lebih jauh dalam memperluaskan rangkaian jalur lebar ini. Mungkin selepas ini orang kampung dan masyarakat Orang Asli juga bakal memperolehi kemudahan Internet,” katanya selepas merasmikan Rangkaian Infrastruktur Jalur Lebar peringkat Negeri Melaka bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Baharin Din.

Sulaiman berkata, kewujudan infrastruktur itu selari hasrat kerajaan negeri mewujudkan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) yang turut menggariskan digital Melaka sebagai satu daripada lapan ‘flagship’ atau tema pembangunannya.

Jelasnya, melalui tema pembangunan dalam PSMJ 2035, kerajaan negeri komited bagi memantapkan infrastruktur telekomunikasi, pemerkasaan aplikasi pintar dan kandungan digital (Smart Melaka), tadbir urus digitalisasi kerajaan dan pada masa sama meningkat kesedaran masyarakat ke arah pendigitalan.

Sementara itu, Mahdzir berkata, bidang infrastruktur jalur lebar yang diusahakan TNB pada masa kini bukanlah bertujuan untuk memberikan saingan kepada Telekom Malaysia (TM) yang lebih lama mendominasi bidang berkenaan.

Sebaliknya beliau berkata, bidang itu menjadi fokus bidang perniagaan baharu yang boleh melengkapi khidmat yang disediakan TM dalam usaha mengurangkan jurang digital di bandar dan luar bandar.

“Kita tidak berebut dengan TM, sebaliknya kita melengkapi antara satu sama lain. Jadi, bagi tempat yang tidak mempunyai capaian dan ada permintaan, TNB akan masuk ke tempat itu menerusi Allo.

“Tapi jika tempat itu dilengkapi infrastruktur TM atau Unifi, kita tidak akan masuk. Apa yang kita lakukan ini juga sebagai menyahut saranan kerajaan melalui inisiatif JENDELA dalam menyediakan rangkaian gentian optik kepada rakyat seluruh negara,” katanya.

Selepas kejayaan projek rintis di Melaka, TNB turut memperluas perkhidmatan jalur lebar berkenaan ke Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dengan sasaran capaian 150,000 kediaman menjelang Jun tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.melakahariini.my/melaka-negeri-pertama-diliputi-rangkaian-gentian-optik-tnb-berkelajuan-1-gbps/

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2430
Kongsi :
Previous post Inisiatif Satu Taman Satu Polis akan diperluaskan ke seluruh negara
Next post PM Muhyiddin adakan pertemuan dengan Sultan Brunei
Ubah saiz-+=