Pelancong perlu gandakan tingkah laku patuhi SOP – MKN

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

JASIN 6 DIS. – Pengunjung khususnya dari negeri yang masih menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digesa lebih peka dengan norma baharu kehidupan ketika melancong ke negeri ini.

Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mohd Nasrul Menhat berkata, usaha itu amat penting bagi memastikan tiada kes jangkitan import dari luar negeri ke Melaka yang telah pun bebas PKPB sebelum ini.

“Kalau nak ikut bimbang (bila sekatan di sempadan negeri dibuka) memang kita bimbanglah sebab kalau kita lihat, di Melaka kebanyakan kes COVID-19 sebelum ini berpunca dari luar.

“Contoh lain di Pahang sebelum ini kosong kes COVID-19 tapi ia tiba-tiba meningkat dan kesemua ini (kes) adalah daripada orang luar iaitu mereka yang melancong ke sana.

“Sebab itu kita bimbang tetapi pada masa sama MKN perlu melihat keputusan ini dari sudu keperluan ekonomi demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pemerkasaan Sebaran Pembudayaan Norma Baharu bagi Rumah Ibadat Bukan Islam Negeri Melaka di Dewan Pusat Aktiviti Perpaduan Daerah Jasin, Bandar Baru Jasin di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di ibu negara dipetik berkata, bermula esok, pergerakan rentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara kecuali bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Tambahnya, polis juga tidak lagi akan melaksanakan sekatan jalan raya, sebaliknya menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau bagaimanapun berharap agar setiap dari individu menjaga keselamatan diri masing-masing dan mengambil langkah-langkah pencegahan.

Vaksin terbaik masa kini bagi menangani COVID-19 katanya adalah diri sendiri dengan mengikut norma baharu kehidupan dan ianya tidak akan berjaya tanpa perubahan sikap masyarakat dan pematuhan SOP.

Mengulas lanjut, Mohd Nasrul berkata, walaupun bimbang, MKN negeri yakin keputusan MKN pusat itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor secara menyeluruh.

“Saya yakin selepas keputusan ini (sempadan negeri dibuka) dibuat semalam, akan ada satu mekanisme khusus untuk mengawal situasi ini secara lebih khusus bagi mengelakkan jangkitan virus pandemik ini.

“Difahamkan, esok MKN akan mengeluarkan satu prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kebenaran rentas negeri ini yang saya percaya ia adalah satu keputusan tepat demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Views:

397
Kongsi :
Previous post Pembinaan pekan kecil perkasa ekonomi penduduk luar bandar
Next post Revisiting Melaka as Global History
Ubah saiz-+=