Pelitup muka: Pakai bukan hanya untuk ‘cukup syarat’

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

PEMAKAIAN pelitup muka di tempat awam telah diwajibkan bermula 1 Ogos lalu, susulan berlakunya pertambahan kes pandemik Covid-19 di negara ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini, di tempat-tempat awam mendapati majoriti orang ramai dilihat mematuhi arahan yang ditetapkan kerajaan itu.

Nyata, sudah timbul kesedaran di kalangan rakyat, khususnya di negeri ini untuk membendung penularan pandemik, sekali gus memastikan Malaysia menang menentang musuh yang tidak kelihatan itu.

Namun, disebalik kepatuhan tersebut, masih terdapat segelintir masyarakat yang sambil lewa memakai pelitup muka hanya sekadar untuk cukupkan syarat.

Melalui pemerhatian di pusat beli belah di sekitar Bandaraya Melaka, didapati ada di kalangan pengunjung tidak mengikut cara pemakaian sebenar pelitup muka seperti yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ada yang hanya memakai pelitup muka dipintu masuk untuk diperiksa pegawai keselamatan, dan sejurus masuk mereka dengan sengaja menanggalkan pelitup muka itu untuk berbual dengan rakan-rakan.

Amat mengecewakan apabila melihat sikap segelintir rakyat yang mengambil mudah arahan tersebut hanya untuk kepentingan sendiri.

Dalam tinjauan di medan selera sekitar Ayer Keroh dan Bandaraya Melaka pula didapati masih ramai yang gagal memakai pelitup muka dengan sempurna apabila meletakkannya di dagu untuk menjamu selera.

Ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan KKM ada menasihati orang ramai agar tidak meletakkannya di dagu memandangkan potensi untuk terkena jangkitan masih tinggi.

Sudah berbakul-bakul nasihat diberikan agar pelitup muka disimpan di dalam plastik mahupun beg kertas ketika makan namun, masih ramai yang mengambil sikap endah tak endah.

Lebih menakutkan, dalam tinjauan ke kedai-kedai runcit sekitar Bukit Rambai dan Klebang, didapati ramai yang semberono membeli barangan tanpa mencatat butiran peribadi pada buku yang telah diletakkan di hadapan kedai.

“Alaa, kedai depan rumah je..Buat apa aku nak tulis nama?” Itulah alasan biasa diberikan oleh mereka yang ingkar.

Namun, tahukah anda pengorbanan kecil menulis butiran peribadi itu sebenarnya mampu membantu kita memenangi perang menentang musuh pandemik Covid-19?

Masakan tidak, dari situlah KKM dapat mengesan kontak-kontak rapat sekiranya terdapat kes positif baharu.

Yakni, dengan cara itu, pandemik dapat dikawal dengan mudah dan tidak akan membuatkan petugas kesihatan kita ‘lumpuh’ dek lambakan pesakit baharu.

Jadikanlah iktibar daripada Kluster Sivagangga yang berlaku di Kedah. Disebabkan sikap penting diri pemilik kedai yang tidak mengkuarantin diri di rumah dan tidak mengambil butiran peribadi pelanggan, kini kes di sana mencanak naik sehingga dilaporkan 30 kes positif secara keseluruhan.

Mahukah kita jika kerajaan menguatkuasakan semula perintah kawalan pergerakan? Bersediakah kita menghadapi kegawatan ekonomi luar biasa?

Jadi tepuk dada, tanyalah diri sendiri…

Views:

395
Kongsi :
Previous post Karnival Penjana Kerjaya ‘Melaka Careertrans 2020’ tawar 4,500 peluang pekerjaan
Next post 82 kompaun gagal patuhi SOP PKPP dikeluarkan IPD Melaka Tengah
Ubah saiz-+=