Pembinaan Litar RC bertaraf antarabangsa di Tanjung Bidara sedang diselaras

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

TANJUNG BIDARA 2 Februari – Kerja-kerja penyelarasan bagi pembinaan sebuah litar sukan kereta kawalan radio jarak jauh (RC) bertaraf antarabangsa di Pantai Tanjung Bidara giat dilaksanakan beberapa agensi terlibat.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Tpr. Saifuddin Abdul Karim berkata, litar RC berkenaan akan dilengkapi kemudahan mengikut piawaian antarabangsa, sekali gus menjadikan Melaka sebagai antara hab bagi penganjuran sukan terbabit.

Katanya, antara agensi terbabit dalam merancang pembinaan litar berkenaan adalah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah dan persatuan-persatuan sukan itu yang aktif di peringkat negeri serta kebangsaan.

“Satu lawatan yang telah dilaksanakan di Presint 6, Putrajaya dan di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam, Selangor baru-baru bagi meninjau, menilai, mengkaji dan dijadikan rujukan dalam kita merancang pembinaan litar ini.

“Tinjauan membabitkan litar RC ‘off-road’ dan ‘on-road’ dibina di kedua-dua lokasi itu, semua aspek akan dinilai. Seterusnya satu bengkel bagi penelitian perancangan dan penyediaan cadangan akan diadakan pada pertengahan Februari ini.

“Perancangan ini akan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri untuk kelulusan sebelum dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk pertimbangan peruntukan bagi pelaksanaan projek,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

September lalu, MHI melaporkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berhasrat untuk membina sebuah litar sukan kereta RC bertaraf antarabangsa di sebuah tapak di Pantai Tanjung Bidara menjelang 2024.

Katanya, pembinaan mercu baharu itu berpotensi memperkasakan sub-sektor pelancongan sukan di Melaka, sekali gus mampu menjadi tarikan kepada sukan antarabangsa di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1567
Kongsi :
Previous post Arca flora serikan bulatan MITC dan Seri Negeri
Next post ‘Tak mampu bayar tambang, tumpang lori JKR saksi detik bersejarah’
Ubah saiz-+=