Pemuliharaan pokok ikonik perlu diperluaskan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BANDA HILIR 17 Mac. – Semua pihak perlu mengambil iktibar dalam kejadian pokok tumbang yang menjadi simbolik kepada sejarah negeri dan kawasan pelancongan di pusat bandar Melaka.

Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Madelina Kuah berkata, tumbangnya pokok berusia 120 tahun adalah khabar mendukacitakan dari sudut pelancongan negeri disebabkan ia mempunyai kaitan sejarah dengan lokasi di sekitar kawasan itu.

Menurutnya, bagi mengelak kejadian itu berulang langkah pemeliharaan dan pemuliharaan terhadap pokok-pokok ikonik di pusat pelancongan negeri perlu dilaksanakan secara meluas.

Presiden MTA, Madelina Kuah. gambar fail

“Kita dapati banyak pokok-pokok ikonik di sekitar pusat pelancongan negeri seusia dengan pokok yang tumbang itu dan langkah memelihara dengan sewajarnya perlu diambil.

“Semua pokok yang masih hidup di sekitar kawasan itu perlu diwartakan dan pihak terlibat perlu memastikan kerja seperti memangkas dan membuang dahan yang reput dan rosak dibuat berkala bagi memastikan ia subur dan selamat kepada pelancong.

“Malah, saya menyokong syor bagi menutup laluan di kawasan itu daripada kenderaan berat bagi mengelakkan berlaku gegaran yang boleh menjejaskan struktur bangunan mahupun pokok di situ,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, MHI melaporkan pokok yang menjadi ‘saksi’ dalam pertumbuhan sosioekonomi sejak zaman dahulu ditanam di hadapan Bangunan Stadhuys itu, tumbang kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

756
Kongsi :
Previous post PM Muhyiddin selesai terima dos kedua suntikan vaksin COVID-19
Next post Peniaga Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri Melaka dijangka meningkat tahun ini
Ubah saiz-+=